Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendedahkan dirinya adalah ‘mastermind’ mengumpulkan tandatangan akuan bersumpah (SD) ahli parlimen Barisan Nasional untuk menyokong Menteri Luar, Hishammuddin Hussein, menurut laporan Sinar Harian hari ini.

Mohamed Nazri dipetik berkata gerakan mengumpul SD itu bukan untuk menukar Perdana Menteri tetapi sebagai ‘akuan mandat 25 ahli-ahli parlimen BN’ kepada Hishammuddin sekiranya ahli parlimen Sembrong itu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Saya boleh sahkan perkara itu kerana saya sendiri yang mengusahakannya sejak dua minggu lalu, setelah kita dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti sekali lagi ke Istana Negara bermula 9 Jun lalu.

“Yang ‘sign’ SD ini melibatkan 25 ahli parlimen BN daripada keseluruhan 41 orang.

“Tujuannya disebabkan kami sudah hilang keyakinan terhadap ketelusan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mewakili parti sewaktu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong tempoh hari,” katanya.

Kenyataan Mohamed Nazri itu menjawab desas-desus usaha mengumpul SD dalam kalangan ahli parlimen bagi mendapatkan sokongan mengambil alih kerajaan, sebagaimana yang diakui Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Bercakap dalam temu bual yang disiarkan portal Malaysiapost pada 20 Jun, Ahmad menjelaskan dirinya tidak didekati oleh mana-mana individu untuk menandatangani SD itu.

MP Pontian itu tidak menyatakan secara lanjut mengenai gerakan mengumpul SD itu serta ahli parlimen atau pemimpin yang terlibat.

Mohamed Nazri juga berkata punca 25 ahli parlimen BN itu menandatangani SD berkenaan kerana kecewa dan hilang keyakinan terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyokong Anwar menjadi perdana menteri ketika ketua pembangkang itu mengadap Agong pada tahun lalu.

“Berikutan itu, kami bersetuju memberi mandat kepada Hishammuddin untuk menjadi jurucakap ahli-ahli parlimen BN bagi memberi penegasan sebenar bahawa kami tidak pernah dan tidak akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Sekali lagi saya tegaskan usaha kumpul SD itu bukan bertujuan untuk jatuhkan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau tukar kerajaan baru.

“SD itu sudah diserahkan kepada Hishammuddin setelah dikumpulkan, namun sama ada beliau telah dipanggil untuk menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong…saya tidak pasti,” jelasnya, lapor Sinar Harian lagi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here