Filem Chomel kisah keluarga dan binatang kesayangan.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SELEPAS melakar kejayaan demi kejayaan melalui filem terbitannya pada tahun ini seperti 18 Puasa Di Kampong Pisang, Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa dan Penunggang Agama, Astro Shaw tampil pula dengan filem Chomel.

Filem Chomel, arahan Jason Chong itu boleh ditonton menerusi Pawagam Rumah Anda, Astro First di saluran 480 bermula 24 Jun 2021 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand dengan hanya RM15.

Chomel merupakan filem yang memberi fokus kepada hubungan persahabatan dan kasih sayang sebuah keluarga bersama seekor kucing.

Menariknya, filem Chomel pasti membuatkan penggemar kucing akan jatuh cinta tatkala melihat gelagat dan aksi comel seekor kucing bernama Chomel.

Sepanjang 90 minit, penonton bakal dibuai dengan emosi berbeza seperti tersenyum, ketawa, sedih, cemas dan geram menerusi babak-babaknya.

Imran bersama dua orang anaknya.

Chomel mempertaruhkan gandingan pelakon hebat seperti Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 dan Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22, Zahiril Adzim, Azizah Mahzan bersama pelakon muda Airiezara Jasmin, Yuyun Hikmah, Aniq Suhair.

Selain itu turut menampilkan penampilan istimewa, Aziz M. Osman, Adibah Noor, Douglas Lim, Gavin Yap dan penyampai radio di Era, Zahier Yusoff.

Bagi Jason Chong, pemenang anugerah Cerita Asal Terbaik filem Adiwiraku pada Anugerah Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29), mengarah filem Chomel amat mencabar kerana pelakon utamanya bukan manusia seperti mana filem arahannya sebelum ini.

“Filem ini juga amat nostalgik bagi saya dan saya akan ingat sampai bila-bila bagaimana mencabarnya mengarah seekor kucing untuk berlakon.

“Bagi mendapat syot menarik dan komposisi setiap babak berbeza, pelbagai idea kreatif dilakukan. Apabila ingin mendapatkan babak kucing tersebut berlari, produksi telah menggunakan beg kesukaan kucing itu untuk menarik minat bergerak aktif,” ceritanya tentang aksi kucing sewaktu di set penggambaran.

Kehadiran seekor kucing menggubah kehidupan Mimi.

Jason juga berharap filem Chomel mampu menghiburkan penonton di samping merapatkan lagi hubungan bersama insan tersayang. Filem terbitan Double Vision Sdn. Bhd., itu bukan untuk pencinta kucing sahaja, sebaliknya filem ini penuh dengan elemen kekeluargaan.

“Dalam keadaan penuh pancaroba sekarang ini, saya percaya sebuah naskah seperti Chomel bukan sahaja mampu mengukir senyuman di bibir, tetapi akan menyentuh hati penonton,” katanya yang mengambil masa selama 13 hari untuk penggambaran di sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, pelakon Zahiril Adzim, pelakon watak Imran, ayah kepada dua orang anak yang dibawa olehnya memberi cabaran besar.

Ini kerana dalam kehidupan sebenar, beliau sememangnya mempunyai alahan kucing dan karakter tersebut juga menyaksikan sisi berbeza lakonannya.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berharap filem Chomel mampu menawarkan pengalaman berbeza kepada penonton.

“Astro Shaw komited dalam memperkenalkan sesuatu yang baharu menerusi karya tempatan buat industri perfileman dan penonton Malaysia.

Chomel merupakan watak penting dalam filem arahan Jason Chong.

“Selepas penonton berhibur dengan jenaka dari karya Kampong Pisang, kemudian rasa seram dan mendebarkan menerusi Penunggang Agama, kini kami mengajak penonton untuk jatuh cinta dengan aksi comel seekor kucing dan hargai keluarga tercinta.

“Kami harap filem Chomel mampu menawarkan pengalaman berbeza kepada penonton serta membuktikan industri filem tempatan juga diwarnai dengan pelbagai bentuk jalan cerita setanding industri filem negara luar,” katanya.

Chomel, mengetengahkan kisah seekor kucing dan seorang kanak-kanak yang melalui rasa kehilangan. Perjalanan cerita mereka ini bakal membuka hati kita agar bersyukur dan lebih menghargai keluarga tersayang.

Jason Chong menganggap filem Chomel mencabar kerana untuk mendapat shot menarik kucing di set perlu kesabaran.

Filem ini bermula dengan Mimi yang kesunyian setelah pemergian ibunya dan keluarganya berpecah belah. Mimi tekad untuk menjadi kawan kepada Diva Girlz untuk mengisi kesunyiannya, namun gagal.

Keadaan berubah apabila Mimi berjumpa Chomel. Mimi merasakan satu peluang atau jalan untuk dia dapat berkawan dengan Diva Girlz.

Bagaimanapun keadaan menjadi rumit apabila ayah Mimi sering kali didesak oleh nenek Mimi (ibu mentua) menuntut hak penjagaan terhadap Mimi dan kakaknya, Nora, disebabkan nenek Mimi merasakan ayahnya tidak mampu menyara masa depan mereka.

Kehadiran si Chomel memberikan harapan kepada Mimi untuk cuba memperbaiki keadaan keluarga mereka.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here