Watak Fauzi yang dilakonkan oleh Haeriyanto dalam Derita Untuk Bahagia buat penonton geram. Foto: IG haeriyantohassan

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

RASA geram sangat bila tengok watak Fauzi dalam drama bersiri Derita Untuk Bahagia, lakonan Haeriyanto Hassan. Dahlah dayus, asyik pukul isteri dan seorang penagih dadah pula. Kalau jumpa berdepan, mahu si Fauzi tu kena hentam kerana perangai buruknya itu.

Bagaimanapun itu semua hanyalah lakonan mantap yang ditonjolkan oleh Haeriyanto dalam drama 30 episod, arahan Ejump Mohd, terbitan produksi MIG Production Sdn. Bhd.

Kisah Derita Untuk Bahagia bersiaran menerusi slot Tiara pukul 6 petang, di saluran Astro Prima (105) itu juga boleh boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Meskipun apa yang ditonjol oleh Haeriyanto hanyalah lakonan, namun penghayatannya sebagai lelaki ‘tidak berguna’ itu benar-benar berkesan.

“Awalnya, watak Fauzi ni tidak berapa jelas tapi bila lihat dialog yang diucapkan saya dapat rasakan yang dia adalah seorang dayus dan loser. Saya explore watak itu setelah membaca skrip.

“Dalam skrip tiada tapi saya yang jadikan serta bawakan watak Fauzi sebagai penagih dadah, kaki judi dan kaki pukul. Saya ciptakan dan imaginasikan sendiri, setelah bincang dengan pengarah,” jelasnya tentang karakter Fauzi.

Bersama Marissa Yasmin, pemegang watak Maria dalam Derita Untuk Bahagia.

Jujurnya, Haeriyanto beritahu yang beliau paling tak suka apabila ada babak pukul isteri kerana bimbang tersasar ke muka atau tubuh pasangan lakon.

“Saya tidak suka scene pukul isteri. Sebab saya ini lelaki, tangan kasar, kadang terkena, sakit juga. Kalau penonton perasan kalau adegan pukul isteri, tangan saya nampak lembut. Saya sengaja lembutkan, takut terkena betul-betul pada rakan lakon saya. Kalau kena confirm berbisa.

“Secara peribadi, karakter saya dengan Fauzi tidak sama langsung seperti langit dengan bumi. Bukan nak puji diri sendiri, saya ni jenis ‘homely type of person’, suka duduk rumah, berkebun, memasak dan suka duduk di rumah dengan famili. Dan saya tak banyak cakap,” jelas Haeriyanto tentang perbezaan karakter yang dilakonkan dan peribadi sebenarnya.

Sebagai suami dan bapa, Haeriyanto akui jika beliau bertemu dengan lelaki seperti watak Fauzi, sudah pasti beliau akan ‘ajar’ lelaki tersebut.

Haeriyanto mengembangkan watak Fauzi ikut imaginasinya sendiri.

“Kalau saya jumpa Fauzi dan tahu mangsa dia adalah ahli keluarga saya, memang confirm kena sepak terajang dengan saya. (ketawa)

“Saya harap penonton yang mengikuti drama ini mencontohi watak-watak positif saja dan untuk watak-watak negattif seperti penipu, pengikis duit orang dan yang penuh hasad dengki, jadikan pengajaran,” ujarnya.

Biarpun sedar watak antoganis tidak begitu digemari penonton, namun sebagai pelakon beliau mahu melakonkan watak berbeza setiap kali berlakon untuk mengelak penonton bosan dengan penampilannya.

Haeriyanto yang tidak cerewet tentang watak tapi kalau ada peluang, beliau ingin melakonkan karakter yang nampak jahat tapi sebenarnya baik. Selain itu, beliau juga mahu mencuba watak yang ditindas tapi penyabar dan banyak berserah pada Allah.

Antara adegan dalam Derita Untuk Bahagia.

Beliau yang gemar berkebun dan memasak bila berada di rumah tidak lupa memberi tip kepada ketua keluarga lain. Katanya, dalam situasi sekarang, suami perlu ringan tulang membantu isteri di dapur.

“Masa sekarang inilah kita (suami) kena jadi romantik dengan isteri. Maklumlah bila asyik tengok muka yang sama bila kena kurung, memang akan ada angin. Jadi bawalah keluar jalan-jalan dekat kawasan taman rumah, pusing-pusing taman,” nasihatnya.

Selain Haeriyanto, Derita Untuk Bahagia turut dijayakan oleh Azar Azmi, Amar Bahrin, Hafreez Adam, Dayang Areeda dan Jasmin Hamid.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here