SHAH ALAM – UMNO menzahirkan persetujuan untuk tidak menyokong sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan pada sidang Parlimen kelak.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan itu sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya suhu politik dapat diredakan dengan memberi tumpuan kepada pemulihan pandemik Covid-19.

Ismail Sabri berkata, Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga sepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami amat mengharapkan sidang Parlimen ini akan dapat memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.

“Oleh yang demikian dan bagi menjunjung titah Seri Paduka Baginda supaya suhu politik dapat diredakan maka kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan.

“Ahli-ahli Parlimen daripada UMNO/ BN juga sepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh kerajaan sebagai suatu usaha dalam memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak Covid-19 dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga turut memberi jaminan bahawa Menteri serta Timbalan Menteri daripada UMNO dan BN akan memastikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas serta peranan masing-masing terutamanya yang berkait secara langsung dalam mengekang penularan Covid-19, pelaksanaan vaksinasi dan pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

“Apa yang pasti keutamaan ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO/ BN adalah demi kelangsungan hidup rakyat dengan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan selain masa hadapan negara Malaysia,” katanya.

Gesaan pembukaan semula sidang Parlimen semakin kuat berikutan titah Yang di-Pertuan Agong susulan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu pada 16 Jun 2021 lalu berhubung keperluan mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin.

Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat masih cuba melengah-lengahkan keperluan tersebut disifatkan kerana Muhyiddin bimbang dengan kedudukannya yang berkemungkinan akan ada usul undi tidak percaya bagi menyingkirkannya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here