Zulkifli Mohamad

SHAH ALAM – Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (KKUiTM) menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi di atas perlantikan Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim bin Abu Shah sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan Prof.Dr. Mohd Sazili Shahibi Sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM.

Menurut kenyataan Presiden KKUiTM, Zulkifli Mohamed, kedua tokoh tersebut adalah merupakan insan yang amat berpengalaman dalam sistem UiTM, apatah lagi Ibrahim adalah merupakan mantan pelajar, Mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ITM, Mantan Pensyarah , Pentadbir UiTM dan kini beliau adalah Pengerusi LPU.

“Sudah tentu bagi kami ianya sesuatu yang membanggakan dan pengalaman beliau dalam segenap peringkat Universiti ini adalah sangat diperlukan bagi memastikan universiti terus maju kehadapan, berdaya saing, berintegiriti serta mempunyai jati diri yang kuat terhadap anak bangsa.

“Manakala Professor Dr. Mohd. Sazili Shahibi juga pernah menjawat jawatan Dekan dan juga terlibat dalam banyak jawatankuasa UiTM dan jawatan pentadbiran yang lain,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Ahli Parlimen Setia Wangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sekurang-kurangnya 13 individu daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) telah dilantik memegang jawatan di lembaga pengarah atau lembaga gabenor universiti awam, berdasarkan pemeriksaan di laman web universiti.

Antara yang disebut adalah Mohd. Sazili yang didakwa Nik Nazmi sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang sedangkan menurut Mohd.Sazili beliau memegang jawatan tersebut pada tahun 2008.

Zulkifli berkata, perlantikan kedua tokoh tersebut dibuat menerusi iklan terbuka yang dibuat melalui proses temuduga oleh ahli panel yang berwibawa dan tapisan kriteria yang telah ditetapkan.

Katanya lagi, pihak KKUiTM sebulat suara menyokong penuh pelantikan tersebut.

“Kami amat berharap agar pihak berkenaan agar melihat perkara ini secara profesional, jangan membuat tuduhan membuta tuli yang akhirnya akan merugikan UiTM dan anak bangsa yang sangat bergantung harap untuk merubah masa hadapan,”katanya.

Sebelum ini, Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi MARA (Mitasa) turut membidas laporan yang mendakwa pelantikan pengerusi lembaga pengarah (LPU) dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM berunsurkan politik kepartian kepada Perikatan Nasional dan UMNO.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here