KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pegawai bahagian perolehan di sebuah kementerian kerana disyaki menerima rasuah RM150,000 daripada kontraktor sebagai balasan untuk projek bernilai RM2.6 juta.

Suspek akan ditahan selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Jun untuk siasatan lanjut selepas perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Menurut sumber, pegawai perolehan itu terlibat dalam projek membekalkan kelengkapan menyelam untuk sebuah agensi penguat kuasa.

Difahamkan kes ini merupakan susulan siasatan yang dilakukan terhadap penolong setiausaha bahagian kementerian itu dan para pemilik dan pengurus syarikat yang telah ditahan sejak 21 Jun lalu.

Seorang pegawai perolehan di sebuah kementerian tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya kerana terlibat dalam kes rasuah.

Hasil siasatan ini telah berjaya membongkar kegiatan sindiket ini yang dipercayai telah membolot 22 projek berjumlah RM135 juta di kementerian tersebut sejak 2017 hingga kini. Ini termasuk projek berkaitan penahanan suspek hari ini.

Sindiket ini juga dipercayai mengupah pihak lain pula untuk mengendalikan projek-projek tersebut.

Pada 21 Jun lalu, empat orang pemilik syarikat kejuruteraan marin telah direman SPRM kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan marin di agensi penguat kuasa sama yang dianggarkan berjumlah RM10 juta.

Susulan itu, seorang penolong setiausaha bahagian kementerian telah ditahan pada keesokan harinya dan diikuti penahanan seorang pengurus syarikat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here