KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lapan tuduhan terbabit aktiviti penstrukturan transaksi dan pengubahan wang haram berjumlah RM471,928.20.

Mazni Abu Bakar, 59, bagaimanapun memohon dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibuat terhadapnya di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Penstrukturan transaksi merupakan teknik yang digunakan oleh penjenayah kewangan untuk memasukkan atau mengeluarkan wang tunai hasil daripada kegiatan haram ke institusi kewangan.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga keempat, Mazni didakwa dengan niat mengarahkan pekerjanya, menstrukturkan transaksi berjumlah keseluruhan RM238,575.35, lapor Berita Harian.

Tindakan berkenaan dilakukan bagi mengelak keperluan membuat pelaporan seperti peruntukan Seksyen 14(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) iaitu ke dalam akaun CIMB, milik Sasrestu Sdn Bhd.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4A (1) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4A(2) akta sama, penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kelima, Mazni didakwa memindahkan wang berjumlah RM47,627.92 hasil daripada aktiviti haram, di akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat Sasrestu Sdn Bhd ke akaun milik syarikat Teakway Industrial Sdn Bhd di Public Bank melalui cek CIMB Bank Berhad.

Mazni turut dituduh atas tiga tuduhan, menggunakan wang berjumlah RM65,000.00 dan RM104,832.80 hasil daripada aktiviti haram, bagi pembelian Toyota Alphard dan pembayaran cukai kastam milik syarikat Visi Inisiatif Sdn Bhd serta melupuskan wang berjumlah RM15,892.23 daripada Azizul Fakhri Nordin.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di tempat sama, antara 20 Februari dan 18 September 2018 serta didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda.

 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here