Oleh Hassan Mohd Noor

SAMA ada kebetulan atau tidak, nampaknya ‘menjadi juga’ kata dua Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi kepada kerajaan supaya memanggil semula sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari berdasarkan kenyataannya pada 21 Jun lalu.

Hari ini, 6 Julai, tempoh 14 hari desakan UMNO itu tamat tetapi petang ini keluar kenyataan bahawa Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos.

Sebelum ini, berikutan kenyataan Zahid itu, timbul pelbagai persoalan apa pula tindakan susulan UMNO, jika tuntutan itu tidak dipenuhi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang juga dianggotai wakil rakyat UMNO?

Pelbagai spekulasi timbul termasuk jajaran baharu yang dikatakan melibatkan UMNO dan PH. Dalam erti kata lain, UMNO akan meninggalkan kerajaan PN dan sebuah kerajaan baharu dibentuk.

Ketika negara sedang berperang dengan Covid-19, UMNO pula dilihat sedang ‘berperang’ dengan kerajaan dan sesama sendiri demi kelangsungan kuasa dan politik. Macam-macam cerita timbul dalam kalangan pemimpinnya.

Isu persidangan Parlimen menjadi bahan untuk meraih sokongan lebih-lebih lagi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Jun menyatakan sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bagaimanapun, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan PPN dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.

Dan baru-baru ini kerajaan memberi komitmen baharu dengan menyatakan Perdana Menteri memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin iaitu sebelum 1 Ogos ini.

Kini segala persoalan sudah terjawab. Cuma apa pula yang akan berlaku menjelang persidangan atau sepanjang lima hari persidangan? Adakah isu ‘politik dan kuasa’ akan terus berbangkit?

Menurut kenyataan hari ini, mesyuarat bertujuan memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai PPN dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua majlis Parlimen.

Khabarnya sebelum ini, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan pada 7 Julai ini dikatakan akan menentukan segala-galanya berkaitan percaturan politik pucuk pimpinan parti berhubung Parlimen dan PN.

Adakah pengumuman hari ini membantutkan segala spekulasi berkaitan mesyuarat MKT itu? Mungkin juga pengumuman itu meredakan sedikit pergolakan dalam UMNO jika itu boleh dianggap ‘pergolakan’ .

Wajarkah isu UMNO meninggalkan PN diulang tayang lebih-lebih lagi ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu bahawa mereka akan kekal di dalam kerajaan sehingga darurat tamat atau sehingga pilihan raya umum?

Resolusi PAU pada Mac lalu antara lain menuntut supaya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan apabila tempoh darurat tamat, sama ada selepas 1 Ogos ini atau tarikh sebelumnya, jika darurat ditamatkan lebih awal.

Andai darurat tamat dan Parlimen tidak dibubarkan, adakah, UMNO akan terus ‘memberontak’ di tengah-tengah perang melawan Covid-19 ini?

Hakikatnya sebelum UMNO pergi lebih jauh, banyak isu dalaman yang perlu diselesaikan dan diberi pencerahan kerana isu-isu berkenaan yang berterusan atau berlarutan boleh menjejaskan UMNO.

Ini termasuk dasar parti yang menetapkan ‘No Anwar, No DAP, No PKR’, isu surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, serta rakaman audio yang didakwa suara Ahmad Zahid berbual dengan Anwar yang dikaitkan orang sebagai persekongkolan bagi menubuhkan Jajaran Baharu .

Apa pula cerita sebenar dakwaan kononnya Menteri,Timbalan Menteri,Ahli Parlimen setuju menarik sokongan daripada Kerajaan PN pada 1 Ogos? Kenapa pula berlaku kutipan akuan bersumpah yang dikatakan mahu Hishammuddin Hussein menghadap
Yang di-Pertuan Agong?

Adalah lebih baik UMNO memberi fokus untuk menarik keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan menghadapi perang Covid-19 ini.

Ingatlah UMNO sedang mempertaruhkan tiga ‘panglima perang Covid-19’ di dalam kerajaan PN iaitu Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Dr. Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairi Jamaluddin.

Mereka ini perlu disokong untuk terus mara di medan perang, bukannya diarah ‘meletak senjata’ ketika saat-saat genting ini. Gagal mereka, orang akan nampak UMNO juga gagal walaupun PN sebagai penerajunya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here