LEE Zii Jia (kiri) dan Goh Liu Ying menjadi pemain badminton ketiga sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara dalam Sukan Olimpik. - Foto MSN

JUARA Kejohanan Seluruh England 2021, Lee Zii Jia dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang yang baharu bersama Goh Liu Ying pada hari pembukaan rasmi Sukan Olimpik Ke-32 di Stadium Olimpik, Tokyo, Jepun.

Zii Jia menggantikan tempat pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad yang terpaksa melepaskannya kerana hari perasmian Olimpik Tokyo 2020 (2021) pada 23 Julai ini, bertembung dengan jadual pertandingannya dalam acara recurve campuran.

Nama perseorangan lelaki badminton negara yang juga pemain nombor sembilan dunia itu diputuskan pada mesyuarat Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Ke-27, hari ini.

Kenyataan MOM hari ini menyebut: “Zii Jia dipilih daripada kalangan atlet lelaki kontinjen negara yang mewakili generasi masa depan atlet Olimpik selain menjadi harapan pingat.”

Inilah kali ketiga pemain badminton mendukung peranan berkenaan selepas Datuk Razif Sidek di Barcelona 1992 dan Datuk Lee Chong Wei di Rio 2016 dengan masing-masing berjaya menghadiahkan pingat gangsa beregu lelaki dan perak perseorangan lelaki buat negara.

Pada 3 Mei lalu, Khairul dinamakan MOM untuk membawa bendera Malaysia bersama-sama Liu Ying, pemenang pingat perak beregu campuran badminton Olimpik Rio 2016.

Kedua-duanya juga bakal menikmati penampilan ketiga Olimpik selepas London 2012 dan Rio namun Tokyo 2020 (2021) merupakan kemunculan sulung Zii Jia, 23 – juara Seluruh England dengan menumpaskan Viktor Axelsen di Birmingham, Mac lalu.

Khairul, 30, perlu menyertai acara recurve campuran memanah pada hari berkenaan untuk bergandingan dengan Syaqiera Mashayikh, 21, yang layak menerusi kuota negara juga bagi acara individu wanita, 30 Jun lalu.

PEMBAWA bendera Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya dalam Sukan Olimpik Melbourne 1956, Tan Kim Bee (angkat berat). – Foto MOM

Sejak penyertaan pada Olimpik Melbourne 1956 (sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya), inilah kali pertama kontinjen Malaysia menampilkan dua pembawa bendera pada perbarisan sempena upacara pembukaan rasmi temasya empat tahun sekali itu.

Kontinjen negara seramai 30 atlet akan menyertai sembilan jenis sukan di Tokyo iaitu memanah, olahraga, badminton, berbasikal, akuatik terjun dan renang, golf, gimnastik, pelayaran dan menembak.

Majoriti atletnya ialah lapan pemain badminton yang dianggap prospek cerah pingat terutama emas sulung yang ditunggu-tunggu Malaysia sejak tiga perak dibawa pulang dari Rio 2016 termasuk oleh Chong Wei, ketua kontinjen ke Tokyo.

Selain Zii Jia dan Liu Ying (gandingan campurannya, Chan Peng Soon), mereka ialah Soniia Cheah (perseorangan wanita), Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean (beregu wanita).

PARA pemenang pingat Malaysia dalam Sukan Olimpik. – Foto MSN

Pembawa Jalur Gemilang dalam Sukan Olimpik

1956 Melbourne, Australia: Tan Kim Bee (angkat berat)
1960 Rome, Itali: Shahrudin Mohd. Ali (olahraga)
1964 Tokyo, Jepun: Kuda Ditta (olahraga)
1968 Bandar Raya Mexico, Mexico: Nashatar Singh (olahraga)
1972 Munich, Jerman Barat: Ali Bakar Abu Bakar (bola sepak)
1976 Montreal, Kanada: Ishtiaq Mobarak (olahraga)
1980 Moscow, Kesatuan Soviet: Malaysia memulaukan
1984 Los Angeles, Amerika Syarikat: Sabiamad Abdul Ahad (menembak)
1988 Seoul, Korea Selatan: Nordin Mohd. Jadi (olahraga)
1992 Barcelona, Sepanyol: Razif Sidek (badminton)
1996 Atlanta, Amerika Syarikat: Nor Saiful Zaini Nasiruddin (hoki)
2000 Sydney, Australia: Mirnawan Nawawi (hoki)
2004 Athens, Greece: Bryan Nickson Lomas (akuatik terjun)
2008 Beijing, China: Mohd. Azizulhasni Awang (berbasikal)
2012 London, England: Pandelela Rinong Pamg (akuatik terjun)
2016 Rio de Janeiro, Brazil: Datuk Lee Chong Wei (badminton)
2020 (2021) Tokyo, Jepun: Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying (badminton).-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here