Ahmad Yunus Hairi

SHAH ALAM – Pas Selangor mendesak pihak berkuasa khususnya pihak polis agar mengambil tindakan paling keras terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu yang telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas mereka.

Menurut Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr.Ahmad Yunus Hairi, dalam keadaan rakyat bersungguh-sungguh mematuhi SOP demi memulihkan negara daripada pandemik Covid-19, tindakan Ronnie itu sangat dikesali dan memalukan rakyat Malaysia khasnya rakyat Selangor amnya.

“ADUN Negeri Selangor yang biadap dan melanggar peraturan demi kepentingan politik sebegini harus ditolak oleh rakyat Selangor dalam Pilihan raya Umum (PRU) yang akan datang,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam tular video pertelingkahan antara Ronnie dengan seorang pegawai polis di perkarangan Bangunan Mahkamah Majistret Raub, Pahang.

Ronnie difahamkan berada di lokasi tersebut untuk memberikan sokongan terhadap 18 orang penceroboh hutan simpan di daerah berkenaan yang telah ditahan polis dan dibawa ke mahkamah untuk memperoleh perintah reman terhadap mereka.

Menerusi video berkenaan, Ronnie dapat dilihat dengan jelas mencabar dan mengganggu tugas anggota polis dan kebiadabannya terhadap kakitangan awam yang menjalankan tugas amat dikesali.

Mengulas lanjut Ahmad Yunus berkata, Pas Selangor mempertikaikan, bagaimana Ronnie seorang ADUN Selangor boleh berada di Raub, Pahang pada hari berkenaan sedangkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD dikuatkuasakan di sebahagian besar negeri tersebut.

“Apabila diminta menunjukkan surat kebenaran rentas daerah, Ronnie langsung tidak mengendahkan permintaan pegawai polis berkenaan malah tidak turun dari kenderaannya menunjukkan kesombongannya sebagai seorang penggubal undang-undang,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here