Foto FB Rina Harun
Oleh Syahir Kassim

KUALA LUMPUR – Pemain drum Caliph Buskers, Fendy Adlun yang terkesan akibat pandemik Covid-19 meluahkan rasa syukur apabila ada pihak yang sedia membantunya bersama seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menempatkan mereka di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Beliau yang merupakan OKU penglihatan juga berasa tidak percaya bagai mimpi menjadi kenyataan apabila menerima kunjungan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun serta wakil Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di rumahnya Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

“Wakil menteri ada memaklumkan untuk membantu saya dan anak mendapatkan rumah di PPR bagi mengurangkan beban membayar sewa rumah yang tinggi di Sentul.

“Syukur Alhamdulillah atas keprihatinan semua yang saya kenali mahupun tidak, cerita saya pun telah viral ke pengetahuan media dan menteri,” katanya ketika dihubungai hari ini.

Pada kunjungan itu, Rina menyampaikan bantuan kewangan, bakul makanan dan pek ready to eat.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Fendy menerusi satu video berdurasi 5.13 saat di Facebook beliau Fendy Hpilacreksub semalam merayu untuk mendapatkan rumah PPR meringankan bebannya yang terjejas akibat Covid-19.

Fendy memberitahu, beliau menginap bersama anak, Nur Azalea Zafirah, 6, yang juga OKU penglihatan dan belajar di sebuah sekolah khas di Sentul.

Beliau juga berharap dapat menginap di PPR yang berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam seperti di Taman Mulia, Cheras bagi memudahkan pergerakannya, namun menyerahkan kepada pihak berkaitan untuk menempatkan di kediaman yang sesuai.

“Saya sangat berharap pihak berkaitan mempertimbangkan rayuan saya ini dan ia bakal menjadi realiti dalam tempoh tidak berapa lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu Rina memberitahu, Fendy memaklumkan keadaan dirinya yang terkesan dan memerlukan bantuan selepas hampir tiga bulan tidak mendapat sebarang pendapatan akibat pandemik sejak tahun lalu.

Katanya, beliau juga telah menguruskan permohonan untuk OKU di bawah inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berupa Bantuan Kewangan Khas OKU seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.

“Ia merupakan bantuan yang diberikan untuk membantu golongan OKU yang telah kehilangan pekerjaan, ketiadaan kerja, dibayar separuh gaji atau diarahkan bercuti tanpa dibayar gaji dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja OKU atau bantuan bulanan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sedia ada,” katanya.

Pihak yang sudi membantu meringankan beban Fendy boleh menghubungi beliau di talian 017-6171731 atau sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun simpanan CIMB 7636586540.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here