‘MR. Wonderful’ Paul Orndorff, bekas penggusti profesional yang pernah bersengketa dengan jagoan legenda Hulk Hogan, meninggal dunia semalam di Fayetteville, Georgia pada usia 71 tahun.

Sebuah portal berita gusti pro dalam talian, Ten Bell Salute melaporkan, sebab sebenar kematian mendiang yang juga antara karyawan jalan cerita New World Order (nWo) dalam World Championship Wrestling (WCW) itu, tidak dapat diperoleh.

Dia dilahirkan pada 29 Oktober 1949 di Winchester, Virginia, Amerika Syarikat namun ibu bapanya dikatakan berketurunan Jerman.

Paul Parlette Orndorff Jr. (nama sebenarnya) pernah dikatakan menderita penyakit dementia yang disebabkan gegaran atau kecederaan pada otak yang mungkin akibat pertarungan gustinya di gelanggang termasuk World Wrestling Federation (WWF).

Penderitaan mendiang yang bergusti pro dari 1976 hingga 2000 ini didedahkan oleh anak lelakinya, Travis pada Mei lalu.

Orndorff menjadi penggusti berwatak jahat (heel) ketika menentang Hogan dalam pertarungan kemuncak WrestleMania pada 31 Mac 1985 di Madison Square Garden, New York, Amerika Syarikat namun kurang bernasib baik kerana tidak pernah bergelar juara WWF atau Antara Benua mahupun beregu.

Mr. Wonderful bergandingan dengan Rowdy Roddy Piper dalam pertarungan beregu (tag team) itu manakala bintang siri TV popular ‘The A Team’ atau Clubber Lang dalam filem ‘Rocky III’, Mr. T menjadi pasangan Hulk.

Siri perseteruan dengan Hogan ini membawanya dipilih sebagai pemenang tiga anugerah anjuran sebuah majalah gusti profesional terkenal, Pro Wrestling Illustrated seperti ‘Pertarungan Terhebat 1985’, ‘Penggusti Paling Dibenci dan ‘Sengketa Sengit 1986’.

Bersama ‘Pretty’ Paul Roma, Orndorff pernah menyandang gelaran beregu dunia WCW dua kali pada 17 Julai dan 23 Oktober 1994 dengan menggelar gandingan mereka sebagai Pretty Wonderful selain muncul juara Televisyen Dunia WCW.

PAUL Orndorff (kanan) mencekak dagu Junkyard Dog dalam satu pertarungan WWF. – Foto WWE

Dia juga dinobatkan sebagai Ahli Dewan Terbilang World Wrestling Entertainment (WWE) 2005 namun beberapa tahun kemudian, gagal dalam tuntutan saman beramai-ramai terhadap syarikat penganjur gusti pro yang didakwa punca kecederaan serius para penggusti.

Bertubuh sasa dan berotot pejal seperti ahli bina badan, Orndorff juga pernah menceburi karier bola rempuh pro dengan Liga Bola Rempuh Dunia (WFL) sebelum menjalani latihan pesat ke kancah gusti.

Dia bersara daripada gusti pada 1995 akibat kecederaan dan beralih karier di belakang pentas sebagai ejen WCW.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here