ISMAIL Sabri Yaakob (kanan) menerima 'Senarai Hajat' kontinjen Sukan Olimpik Tokyo negara. - Foto MSN

TIGA puluh atlet kontinjen negara yang ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021) dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini menyerahkan ‘Senarai Hajat’ (Wish List) kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini sekiranya masing-masing memenangi pingat emas temasya ke-32 itu.

Kesemua senarai itu dimasukkan ke satu kotak khas yang hanya akan dibuka jika ada sesiapa yang berjaya mencatat sejarah mengalungkan Malaysia dengan pingat emas sulung Olimpik sekali gus mengumandangkan lagu Negaraku di podium Tokyo 2020 (2021).

Senarai ini diserahkan kepada Ismail yang juga Menteri Pertahanan pada majlis Amanat Perdana Timbalan Perdana Menteri bersama kontinjen negara ke Sukan Olimpik yang disiarkan secara langsung dalam talian oleh Facebook rasmi Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Malaysia belum dapat menikmati pingat emas Olimpik sejak menyertai temasya empat tahun sekali itu di Melbourne, Australia pada 1956 sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya.

Olimpik Rio 2016 menyaksikan empat pingat perak dan sebutir pingat gangsa dibawa pulang oleh atlet-atlet badminton (Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying), akuatik terjun (Cheong Jun Hoong-Pandelela Rinong Pamg) dan berbasikal (Mohd. Azizulhasni Awang).

Di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) MSN, setiap pemenang pingat emas Olimpik dijanjikan ganjaran RM1 juta manakala perak, RM500,000 dan gangsa, RM250,000 malah para pemenangnya bakal menikmati elaun persaraan.

ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kiri) melaungkan sorakan ‘Demi Malaysia!’ disertai Lee Chong Wei (kanan). – Foto MSN

“Seluruh rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi untuk melihat Jalur Gemilang berkibar megah di langit Tokyo serta menantikan lagu Negaraku bergema di bumi negara Matahari Terbit itu.

“Perjuangan di sana bukan untuk mencipta pencapaian diri semata-mata sebaliknya kejayaan membawa pingat emas atau apa-apa pingat merupakan kebanggaan buat negara.

“Saya ingin menyampaikan doa dan harapan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia agar atlet-atlet negara berjuang habis-habisan demi memastikan nama negara subur dan harum di pentas antarabangsa,” kata Ismail ketika menyampaikan amanat itu di Podium Menara KBS (Kementerian Belia dan Sukan), Putrajaya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kerana kontinjen negara ke Olimpik Tokyo berjaya dipersiapkan walaupun dunia dan negara berdepan cabaran pandemik Covid-19 malah buat kali pertamanya dijalankan dalam cabaran norma baharu.

Ismail turut mengimbas kembali bagaimana beliau selaku Menteri Belia dan Sukan dan menerajui Jawatankuasa Pemandu Olimpik Beijing 2008 malah duduk bersama kontinjen negara untuk menyaksikan perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki antara Chong Wei dan pemain kidal China, Lin Dan.

“Sukan akan terus menjadi instrumen penting perpaduan rakyat Malaysia. Ketika itu Chong Wei berjuang dan berjaya membawa pulang pingat perak malah kejayaannya yang mengharumkan nama negara disambut seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

“Hari ini, dia masih turut bersama bukan sebagai atlet lagi, tetapi Ketua Kontinjen negara,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here