Oleh NAFSIAH JANI

“DI SAAT ini Allah jer tahu…nak jerit ke..nak nangis ke..nak meraung ke. Di mana nak ku luahkan. Dari sekuat2 aku sebagai manusia yang CEKAL, KUAT dan TABAH ada masanya saat aku lemah Di kala aku cuba untuk bertahan tetapi saat itu aku merasa tak mampu bertahan. Namun seandainya aku tak mampu berdiri, aku akan terus cuba untuk berpapah pada harapan & keyakinan. Insya Allah.”

Membaca status Whatsapp penyanyi Amelina membuatkan BebasNews terpanggil untuk mengetahui luahan hatinya. Dalam nada teresak-esak ketika berbicara, Amelina yang mesra membahasakan dirinya, Alin meluahkan segala rasa yang terbuku di hatinya.

“Alin ketakutan kak. Takut apa nak jadi lepas ni. Luahan hati Alin bukan nak komplen tapi nak luah apa yang Alin rasa. . Alin tak reti kak nak meluah perasaan macam orang lain yang senang nak luah perasaan dalam media massa. Alin tak suka…sebab banyak jatuh fitnah n bawa orang ramai buat dosa dan kutuk-mengutuk antara satu sama lain bila komen apa yang mereka baca. Itu yang Alin tak suka.

“Dah dekat dua tahun pandemik Covid 19 ni berlaku. Selama ini Alin dengan anak-anak hidup guna duit simpanan. Itu sebab Alin risau. hingga dah terfikir apa nak korek lagi… duit dah tak ada… tak ada langsung nak dikorek. Sekarang ini, Alin hanya mampu berdoa (sambil teresak-esak)..bergantung harap agar covid ini cepat berakhir.

“Nasib baiklah selama ini Alin berjimat dan duit-duit show yang dapat Alin simpan untuk kegunaan anak-anak. Ialah artis ini ada kerja ada gaji, tak ada kerja tak bergaji. Bila dapat bercakap macam ni, Alin rasa lega sangat.,” kata Ratu Dangdut Malaysia yang popular dengan lagu Memori Daun Pisang ini.

Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin menambah,“Alin dah biasa hidup susah. Lepas bercerai dan jadi ibu tunggal peritnya nak besarkan enam orang anak. Selama tujuh tahun Alin hidup tanpa bantuan sesiapa dan syukurlah dengan bakat yang Allah bagi dapatlah Alin cari rezeki untuk anak-anak.

“Bila terjadi Covid-19 semua kerja Alin terhenti. Alin dah tak tahu nak cakap apa sebab perkara ini berlaku di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Kadang-kadang bila duduk seorang diri, Alin fikirkan Alin yang ada duit simpanan pun terasa susahnya. Bagaimana pula dengan orang yang bergaji kecik. Benda ini mengajar dan menyedarkan Alin.

“Bayangkan orang yang ada anak kecik yang nak guna pampers dan susu..memang dia tak boleh bayangkan sebab Alin dah laluinya dulu. Sekarang gaji 2k pun pun tak cukup nak bayar sewa rumah, kereta, belanja anak-anak. Kadang Alin terfikir bagaimana nasib orang yang sudah dibuang kerja dan bila Alin letakkan diri dalam keadaan mereka, Alin boleh rasa kesusahan mereka.”

Amelina anak kelahiran Nilai, Negeri Sembilan ini percaya rezeki berkait antara satu insan dengan insan yang lain. Amelina yang turut terkesan berikutan ketiadaan show juga mengambil keputusan meniaga dari rumah.

Amelina mengambil tempahan nasi ayam dan nasi minyak dengan dibantu dua orang anaknya serta adik-adik angkatnya. Mereka yang berminat untuk membuat tempahan boleh Whatsapp talian 0198915509.

“Alin bertuah sebab boleh buat nasi minyak power dan nasi ayam. Buat masa ini Alin hanya buat dua menu iaitu Selasa untuk tempahan nasi ayam. Manakala Khamis dan Jumaat pula nasi minyak. Selalunya waktu malam kami dah buat rewang siapkan bahan-bahan untuk dimasak esoknya.

“Lepas subuh Alin terus masak nasi dan lauk-lauk untuk tempahan. Tempahan ini perlu siap sebelum jam 10 pagi kerana `runner’ Alin akan menghantarnya pula. Alin suka mencuba, setiap Sabtu dan Ahad Alin akan cuba untuk pelbagaikan rasa ayam untuk menu Nasi Ayam. Kadang tu nasi ayam Alin bagi ayam Hainan dan ayam berempah.

“Sekarang Alin hanya mampu buat paling banyak 50 pax dan paling sikit 30 pax. Tempahan banyak itu pun sudah memadai kerana Alin memang tak mampu nak buat banyak. Mungkin rezeki Alin ibu tunggal…ramai yang beli dan hanya mengambil dua pax sahaja dan selebihya mereka minta disedekahkan. Dalam mereka bersedekah, Alin turut melebihkan nasi bagi sedekah daripada Alin pula,” ujar Amelina anak sulung daripada lima beradik ini.

Di saat Amelina susah,ramai kenalannya dalam dunia perniagaan yang ingin menghulurkan bantuan. Namun Amelina bukanlah jenis yang suka mengambil kesempatan. Dia lebih suka diberi pekerjaan daripada menerima begitu sahaja. Caranya hanya dengan membeli makanan yang dijualnya.

“Alin kuat sebab ramai yang memberi sokongan moral pada Alin. Bukan saja kawan-kawan yang menempah makanan Alin malah ada peminat dari Singapura yang order untuk panjangkan sedekahnya. Ada juga emak dari Pulau Pinang yang tempah untuk anaknya dan rakan-rakannya yang bertugas sebagai frontliner dan juga tempahan untuk tunang tersayang. Ibaratnya nasi Alin ini penghubung kasih sayang orang,” kata Amelina sambil ketawa.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dilaksanakan, Amelina terpaksa berjauhan dengan empat orang anak-anaknya yang kini bersekolah dan tinggal bersama emaknya di Nilai, Negeri Sembilan.

Amelina cukup bahagia bersama enam orang anaknya iaitu Puteri Nur Athirah, 20, , Putera Al Affiq, 19, Putera Al Asyraff, 18, Puteri Nur Asyurrah, 16, dan Putera Al Arffa, 14, Putera Al Amzarr, 12.

Amelina parodi semula lagu-lagu popularnya untuk motivasi

Mengambil iktibar dari apa yang berlaku kini, Amelina lebih banyak muhasabah diri dan bertawakal kepada Allah. Selain sibuk menerima tempahan nasi minyak dan nasi ayam, Amelina juga mengambil kesempatan untuk memberi motivasi kepada rakyat di Malaysia.

Kenangan Hari Raya 2019 Amelina bersama anak- anaknya.

“Alin hanya mampu memberi motivasi melalui lagu-lagu popular Alin yang diparodikan semula. Alin harap lagu ini dapat beri semangat kepada rakyat Malaysia untuk terus berjuang, bersikap positif dan menurut setiap saranan kerajaan. Pandemik ini membuatkan semua pihak terkesan dan ini bukannya masa untuk menyalahkan mana-mana pihak.

“Alin ni orang seni dan bila PKP macam ni banyak pula idea yang datang. Itu sebabnya banyak lagu-lagu lama Alin tukar liriknya untuk bagi motivasi pada peminat di luar sana. Melalui Amelina V’Channel peminat boleh menonton lagu Memori Daun Pisang ditukar tajuk Memori Lockdown. Manakala lagu yang Sedang-Sedang Saja ditukar kepada Jadi Kosong-Kosong Saja,”ujar Amelina lagi.

Amelina memulakan kariernya sejak 1994 dengan album pertamanya yang menggunakan namanya sebagai tajuk album, Amelina. Lagu Rindu dan Yang Indah Yang Hangat turut menjadi lagu hit albumnya hingga membolehkan album tersebut terjual lebih 200 ribu di Malaysia dan Indonesia. Antara album-album yang pernah dihasilkannya ialah Asyik, Cinta Oh Cinta, Puteri Dangdut dan Dang Dang Dut.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here