GAMBAR: Nir Kafri.

 

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) pada Rabu (14 Jul) dengan rasminya telah membuka kedutaannya di Tel Aviv.

Ia adalah sebahagian daripada usaha memulihkan hubungan di bawah perjanjian yang diusahakan oleh Washington pada tahun lalu, lapor media Israel.

Bertempat di bangunan bursa saham negara itu, lokasinya dianggap strategik sebagai mencerminkan peranan kerjasama ekonomi yang dimainkan oleh UAE sejak sekian lama.

UAE merupakan negara Arab utama ketiga mengiktiraf negara Yahudi itu.

Pada majlis perasmian yang turut dihadiri oleh Presiden Israel baharu Isaac Herzog, duta UAE Mohamed al-Khaja menyifatkan penubuhan kedutaan tersebut sebagai membuka “lembaran penting dalam hubungan yang semakin positif di antara kedua-dua negara”.

Beliau berkata Israel dan UAE adalah negara inovatif melalui mana kedua-duanya mampu menggembleng kreativiti ke arah kemakmuran dan masa depan lestari bagi wilayah serantau.

Sementara itu, Herzog pula menganggap “perjanjian bersejarah” dengan UAE akan diperluaskan untuk merangkumi negara-negara lain.

Israel dan UAE telah memeterai beberapa perjanjian, termasuk pelancongan, industri penerbangan, dan perkhidmatan kewangan sejak hubungan dipulihkan sebagai sebahagian daripada Abraham Accord yang ditaja oleh pentadbiran bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply