person sitting on bench watching sea
Photo by Maria Teneva on Unsplash
Oleh Syahir Kassim

KUALA LUMPUR – Rakyat disarankan menyertai program bual bicara terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu Selamat Pagi Malaysia (SPM) sebagai usaha menangani cabaran kesihatan mental, kebimbangan dan tertekan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara lebih setahun lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menyeru orang ramai agar menyertai diskusi dalam siaran-siaran temu ramah yang diadakan setiap hari bermula pukul 9 pagi sejak 1 Jun lalu.

“Bagi yang berdepan kemurungan pengangguran, keganasan rumah tangga dan kekangan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) juga jangan terlepas untuk menonton SPM,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, program berkenaan membariskan para penceramah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran yang berkongsi tips-tips pengurusan kesihatan mental.

“Para penonton juga berpeluang untuk mengetahui tips mengenai menguruskan tekanan psikologi, keresahan, menghadapi kehilangan pekerjaan dan pengangguran.

“Turut dibincangkan ialah mengenai masalah komunikasi dan sosial yang dihadapi oleh kanak-kanak dan dewasa serta tekanan di tempat kerja ketika berdepan dengan situasi semasa yang cukup mencabar,” katanya.

Bagi menjayakan program itu pihaknya mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lembaga Kaunselor Malaysia dan beberapa Institusi Pengajian Tinggi serta badan bukan kerajaan.

Bagi mereka yang memerlukan bantuan atau khidmat sokongan boleh hubungi psikososial Covid-19 KKM 011-63996482 / 011-63994236; Talian Kasih aplikasi Whatsapp 019-2615999 dan talian Befrienders 03-76272929.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here