SYAZWAN ZAKARIAH

 

Oleh MUZLINA ABU BAKAR
Foto Ihsan Astro GEMPAK

MENERBITKAN sebuah program bual bicara tidak semudah menghafal A, B dan C! Apalagi apabila program tersebut yang diilhamkan daripada sebuah portal online dan membincangkan dilema ‘perasaan’ yang dialami segelintir insan yang tertekan jiwa mereka kerana masalah tertentu.

Bagaimanapun jika penerbit bijak ‘mengadun’ pelbagai info berkaitan kesihatan mental dan dengan kehadiran pakar psikoloji apalagi teamwork yang amat membantu dari segi idea, tidak mustahil ‘talkshow’ yang dikendalikan oleh seseorang yang tidak dihadirkan wajahnya tetap mendapat sambutan dan diminati ramai kerana yang nyata program itu ‘cukup ramuan’ hingga membuatkan ia menjadi satu penantian para penonton setianya!

Itulah ironinya program bual bicara ‘Sembang Tepi Kak Gee’ yang bersiaran lapan episod selama 30 minit setiap Isnin bermula 7 Jun pada pukul 9.30 malam di Astro Ria dan di platform digital Astro Gempak pada 20 Mei setiap Khamis 9 malam.

Bagaimanapun “Sembang Tepi Kak Gee” yang mula bersiaran sejak 20 Mei di digital Astro Gempak telah pun berakhir pada 8 Julai manakala di Astro Ria akan berakhir pada 26 Julai ini.

MISHA Omar sebagai Kak Gee dalam “Sembang Tepi Kak Gee.”

Selama lapan minggu (lapan episod) bersiaran “Sembang Tepi Kak Gee” memperkatakan tentang Axienty: Dada Berdebar Walau Sekecil Isu (tetamu: pelakon Karl Shafik), Tekanan Ibu Bapa: Disingkirkan Seperti Anak Tiri (tetamu: Syed Azmi), OCD: Derita Berulang-ulang (tetamu: Pelakon Dini Schatzmann), Body Shaming: Salahkah Aku Bertubuh Gempal (tetamu: Kevin Zahri) Trauma: Kemalangan lalu Menghantui (tetamu: Pelakon Catriona Ross), Depresi: Luar Bahagia, Dalam Derita (tetamu: Penyanyi Yasin Sulaiman), Demam Kabin: Risau Gangguan Muncul Kembali (tetamu: Pelakon Remy Ishak) dan episod akhir, Tekanan Masyarakat: Beban Wanita (tetamu: Pelakon Sharifah Amani) dengan Pakar Psikologi Klinikal, Akif Basri.

Dalam satu sesi wawancara maya bersama BebasNews baru-baru ini yang diaturkan oleh Eksekutif Komunikasi Astro, Maizatul Azni Ab. Patah dengan Ketua Content Studio Astro, Syazwan Zakariah bersama penyanyi, pelakon dan pengacara, Misha Omar serta pengurus yang juga kakaknya, Mimi Omar antara lain merungkai program yang diilhamkan daripada kolum “PM Tepi Kak Gee” di portal Astro Gempak ketika negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun lalu.

“Sebenarnya sebelum rancangan ini diterbitkan untuk siaran di platform digital Astro Gempak dan Astro Ria yang dikenali ‘Sembang Tepi Kak Gee’ ia merupakan satu kolum soal jawab dalam membantu para peminat di portal Astro Gempak yang mengalami masalah tekanan perasaan, keresahan dan kemurungan dengan nama asalnya ‘PM Tepi Kak Gee.’

DARI kiri: Misha Omar, Sharifah Amani, Syazwan Zakariah dan Akif Basri.

“Ruangan yang mula bersiaran di portal Astro Gempak sejak tahun 2020 membincangkan dan cuba menyelesaikan masalah dan pelbagai persoalan yang dikemukakan berkaitan dengan pembaca ketika berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Bersandarkan sambutan di luar jangkaan ruangan itu divisualkan untuk siaran di platform digital Gembak Astro dan Astro Ria bagi berkongsi idea dan bagaimana cara mengatasi isu kesihatan mental seperti anxiety, trauma dan depresi yang dialami oleh mereka tidak kira artis ataupun orang biasa dengan panel tetap Pakar Psikologi Klinikal, Akif Basri,” jelas Syazwan Zakariah.

Menurut beliau, setelah setahun ruangan itu disiarkan secara online melalui beberapa perbincangan dengan editornya, Maliah Surip dan mereka di sebalik tabir kolum tersebut mereka mendapat idea menerbitkan program itu lapan episod untuk musim pertama.

“Sebenarnya apabila mahu
memvisualkan program bual bicara ini soalan pertama di minda saya siapakah yang layak untuk watak misteri ‘Kak Gee’ bagi menyantuni mereka yang bermasalah ini.

“Figura itu saya gambarkan ‘seorang kakak’ yang mempunyai sifat keprihatinan yang amat tinggi, sudi mendengar dengan penuh jiwa setiap masalah yang diluahkan dan mampu memberi nasihat secara peribadi.

“Ketika itu dalam minda saya hanya tergambar seorang figura yang mempunyai kualiti yang saya cari iaitu Misha Omar (Mish). Saya mengenali Mish sejak sekian lama dan yakin Mish mampu menjiwai dan menghadirkan peribadi misteri ‘Kak Gee’ yang saya gambarkan.

“Saya yakin dengan Mish bersandarkan cara Mish berinteraksi dengan para peminatnya di Instagram dan komen Mish sebagai juri Big Stage dengan sopan tetapi begitu berkesan, Mish memang layak,” jelas Syazwan Zakariah mengapa beliau memilih Misha Omar untuk menyantuni watak misteri ‘Kak Gee’ dengan baik.

Atas: DINI SCHATZMANN
Bawah: KEVIN ZAHRI

Menurut Syazwan, beliau merasa lega apabila tawarannya diterima oleh Misha kerana personaliti ‘Kak Gee’ yang begitu misteri bukan mudah.

“Apabila Mish kata ‘yes’ saya rasa beban yang bagaikan batu besar di kepala hilang tiba-tiba. Mish suka dengan gambaran personaliti dan karakter ‘Kak Gee’ yang penuh misteri kerana sepanjang lapan episod penonton tidak dapat menatap wajah ‘Kak Gee.’

“Bukan itu sahaja, Mish yang berambut sampai ke bahu tetapi dari belakang dalam samar lampu di studio, kami hadirkannya sebagai ‘Kak Gee’ yang berambut panjang dan kerinting sesuai dengan karakter misteri itu. Malah semasa proses ‘editing’ kami menggunakan teknik untuk mengubah suara Mish agar penonton tidak kenal siapa di sebalik ‘Kak Gee.’

Atas: CATRIONA ROSS
Bawah: REMY ISHAK

“Alhamdulillah semasa shooting bermula Februari lalu kesinambungan perwatakan ‘Kak Gee’ tidak pernah lari walau seinci,” jelas Syazwan Zakariah.

Menurut Syazwan, sebelum memulakan penggambaran team produksi dan Misha mengadakan perbincangan dan memperhalusi setiap isu dan masalah mental yang menjadi topik dalam setiap episod dengan tetamu pilihan dan panel tetap, Pakar Psikologi Klinikal, Akif Basri.

Bagi Misha Omar tawaran Gempak Astro untuk beliau menyantuni watak misteri ‘Kak Gee’ tidak mampu ditolak kerana ia adalah satu penghargaan yang amat bermakna buat dirinya sepanjang bergelar artis.

“Apabila Syazwan menawarkan saya karakter misteri itu saya tidak
nampak kemampuan saya. Namun setelah berbincang beliau meyakinkan bahawa saya mempunyai kualiti menyantuni watak ‘Kak Gee’ yang ampuh untuk menerajui program bual bicara lapan episod ini,” kata Misha Omar.

Meskipun pada mulanya Misha meragui kemampuannya namun apa yang nyata pilihan Syazwan tidak salah apabila meletakkan keyakinan bersandarkan kualiti yang dimiliki Misha Omar, seorang wanita yang penuh kasih sayang dan tinggi empatinya.

“Setelah menyantuni watak ‘Kak Gee,’ saya memahami tentang pandangan stigma segelintir masyarakat terhadap mereka yang mengalami depresi selama ini yang dianggap sakit jiwa dan gila.

“Jika kita mempunyai kesedaran mengenai kesihatan mental, tidak mustahil kita boleh membantu mereka yang mengalami depresi kerana jika kita biarkan mereka, ia akan memberi kesan yang buruk,” jelas Misha Omar.

YASIN Sulaiman dan Akif Basri dalam episod Depresi: Luar Bahagia, Dalam Derita.

Menurut Misha, sebagai persediaan sebelum memasuki set selain berbincang dengan Maliah dan team produksi beliau membuat homework sendiri dengan mengikut seorang teman bertemu seorang doktor pakar untuk mengatasi masalah depresi dengan melalui sesi rawatan melalui perbincangan dan meluahkan apa yang dirasai.

“Selain itu saya juga membaca untuk mendapat info mengenai depresi, social anxiety disorder tetapi saya terkejut apabila bersama tetamu ‘Kak Gee’ pada episod enam (12 Julai) iaitu penyanyi, Yasin Sulaiman yang cukup popular dengan lagu “Mimpi Laila.”

“Siapa sangka dalam melayari kejayaannya sebagai penyanyi Yasin mengalami Bipolar Disorder selama tujuh tahun. Lama juga beliau mengambil masa untuk pulih kerana di awalnya beliau salah didiagnosis. Bukan itu sahaja disebabkan malu untuk merawat belum mendiamkan diri tetapi setelah tujuh mendiamkan diri alhamdulillah akhirnya kini beliau sudah pulih.

“Saya amat bersyukur mendapat maklum balas yang positif daripada para peminat program ini tetapi bagi saya kehadiran, Pakar Psikologi Klinikal, Akif Basri yang merupakan ‘anchor’ program ini amat membantu dan melengkapkan pelbagai info untuk kita fahami,” kata Misha Omar.

Sementara itu, Syazwan Zakariah ketika ditanya mengapa pada episod akhir “Sembang Kak Gee” yang disiarkan pada 8 Julai di digital Gempak Astro mendedahkan identiti sebenar ‘Kak Gee,’ beliau menjelaskan;

“Sebenarnya apabila “Sembang Tepi Kak Gee” mula bersiaran di digital Gempak Astro kami menerima banyak pertanyaan daripada para peminat program ini yang ingin tahu siapakah ‘Kak Gee’ dan bagi memenuhi hasrat ingin tahu mereka kami mendedahkan Misha Omar sebagai ‘peminjam suara’ dan ‘pemain watak’ untuk karakter tersebut.”

Apabila ditanya apakah digital Gempak Astro akan menerbitkan musim kedua “Sembang Kak Gee” dengan tenang sambil tersenyum Syazwan Zakariah berkata;

“Mengambil kira sambutan yang diberikan oleh penonton, Gempak Astro sedang menimbangkan untuk menerbitkan musim kedua program ini. Bagaimanapun buat masa ini semuanya masih dalam perancangan.”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here