PERTEMBUNGAN Malaysia dan Thailand (jersi biru) sentiasa dinanti-nantikan dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand.

STATUS penyertaan skuad negara sama ada boleh menyertai atau tidak Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand pada November ini, bergantung kepada sejauh mana perkembangan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Setakat ini PSM dalam proses meminda fasal tertentu Perlembagaannya menerusi perbincangan pucuk pimpinan sementara dan wakil 12 persatuan ahli gabungan yang berturut-turut meninggalkan badan induk kebangsaan itu sejak Mei lalu.

PSM sudah pun disingkirkan daripada status ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) pada 20 Mei lalu atas salah laku Presiden PSM ketika itu yang berkaitan Kongres pemilihan Astaf, 1 Mac lalu.

Biarpun dicengkam pandemik Covid-19, kejohanan yang turut popular digelar King’s Cup akan tetap dilangsungkan pada 1 hingga 7 November ini selepas dua kali dipinda dari jadual asalnya, 19 hingga 26 September dan 2 hingga 10 Oktober.

ABDUL HALIM KADER

Presiden Astaf, Abdul Halim Kader berkata, “kami juga sedang berunding dengan penganjurnya, Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) untuk menggugurkan kategori wanita supaya pertandingan Piala Raja Thailand dapat dihabiskan dengan lebih cepat.”

Piala Raja Thailand merupakan satu-satunya kejohanan tahunan antarabangsa yang tertua dan masih bertahan sejak 1984 tetapi tidak dapat dilangsungkan pada tahun lalu gara-gara Covid-19.

Piala ini telah mendapat kebenaran dan status Kejohanan Dunia daripada Istaf sejak lebih sedekad lalu.

“Venuenya yang dijadualkan ialah Pusat Beli-belah Fashion Island, Bangkok tetapi Istaf cuba menyarankan agar King’s Cup 2021 diadakan di tempat tertutup umpamanya, Stadium Hua Mark, Bangkok,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

Piala Raja Thailand tegasnya, perlu dilangsungkan tahun ini sebagai kayu pengukur prestasi atau kriteria pemilihan oleh negara-negara peserta Sukan SEA Hanoi, Sukan Dalam Dewan dan Seni Tempur Asia dan Sukan Asia Hangzhou 2022.

“Ada majlis Olimpik negara-negara Asia khususnya, mahu menjadikan prestasi pasukan mereka pada kejohanan dalam tempoh 13 bulan terdahulu sebagai kriteria pemilihan menyertai temasya-temasya sukan itu,” katanya.

PIALA Raja Thailand hanya pernah dimenangi Malaysia dua kali, 1985 dan 1988

Kali terakhir Piala Raja Thailand yang menjadi rebutan hanya dalam acara regu berpasukan, dilangsungkan ialah pada 2019 juga di Fashion Island.

Empat lagi acara yang turut dipertandingkan ketika itu ialah antara regu, beregu, kuadran dan gelung dalam dua kategori, lelaki dan wanita.

“Dua tahun lalu, sebanyak 31 negara menyertainya dan tahun ini lebih 35 negara yang dijemput TAT namun mungkin angkanya berkurangan kerana Covid,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here