RASYIDAH ABU JOHAN

PASTI anda kenal dengan Datuk Harjit Singh Hullon, Ivan Toh dan Christine Ling serta Margaret Gambang.

Mereka ialah pembaca bukan Melayu yang sudah sinonim dengan Berita Perdana Radio Televisyen Malaysia (RTM) mahupun Buletin Utama TV3 yang disiarkan setiap pukul 8 malam dalam Bahasa Kebangsaan.

Rasyidah Abu Johan sebaliknya mengambil peranan membaca Berita Mandarin RTM setiap pukul 12 tengah hari dan 7 malam sekali gus menjadi wanita Melayu yang merintisnya.

Menariknya ialah anak jati Georgetown, Pulau Pinang ini memulakan tugas yang agak unik ini pada hari kedua Tahun Baru Cina 2020 atau 26 Januari.

“Saya memenuhi impian ibu saya, Noraishah Badaruddin yang memang hendak tengok saya jadi pembaca berita berbahasa Mandarin sejak saya belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

“Saya pula menjalankan kerja yang boleh saya selami pelbagai benda baru setiap hari dan apabila masuk bidang kewartawanan, saya memang amat menyukainya,” katanya kepada BebasNews.

Peliknya Rasyidah, 33, tidak pula pernah diberi peluang menjadi pembaca Berita Perdana, Berita Wilayah atau Berita Tengah Hari dan Malam RTM yang disiarkan dalam bahasa Melayu.

RASYIDAH kerap melakukan standupper dan crossover berita dalam bahasa Mandarin TV2 RTM. – Foto FB rasyidahrtm

“Saya menyertai RTM mulai 2011. Selaku Penerbit Rancangan, saya perlu juga membuat pelbagai tugas termasuk meliputi berita am dan bisnes. Tiga tahun kemudian, saya ditempatkan di Meja Mandarin.

“Dari situ, saya kerap membuat laporan, suara latar (VO), standupper (pelapor di tempat kejadian), lintas langsung (crossover) berita dalam bahasa Mandarin,” kata lulusan Ijazah Komunikasi Perhubungan Awam dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Petaling Jaya ini.

Ketua unit katanya, menawarkan peranan baharu pembaca berita Mandarin itu bagi mempromosikan pelbagai bangsa dalam setiap siaran berita RTM memandangkan sudah ada etnik Cina, Sarawak dan Sabah bagi Berita Perdana selain kacukan India-Cina bagi berita Tamil.

“Saya tertarik hati malah sudah lama menjadikan seorang pembaca berita dalam tiga bahasa, Melayu, Inggeris dan Mandarin di ntv7 – Hong Ju Khee idola saya. Dia juga macam legenda dalam karier ini.

“Saya juga meminati peminat dua lagi pembaca berita terkenal RTM, Tengku Permaisuri Norashikin dan Allahyarham Farit Ismeth Emir. Gaya mereka tidak overacting (berlebih-lebihan) dan mampu menjiwai berita. Mereka juga ada aura, sebutan mudah difahami dan tidak terlalu mengikut prompter (paparan skrip berita),” katanya.

Penguasaan bahasa Mandarin oleh Rasyidah juga banyak dibantu dengan pendidikan awalnya di SJKC Hwa Aik (Arau, Perlis), SJKC Chung Shan (Bayan Lepas, Pulau Pinang), SJKC Tsung Wah (Kuala Kangsar, Perak), Sekolah Tinggi Shen Jai (Ipoh, Perak) dan Sekolah Tinggi Tsun Jin, Kuala Lumpur dari 1995 hingga 2006.

“Ayah saya, Abu Johan Mohd. Nordin seorang anggota tentera jadi keraplah saya bertukar-tukar sekolah. Ketika berusia lima tahun, saya berminat masuk kelas piano. Disebabkan ramai pelajarnya berbangsa Cina, saya pun minta ayah dan mak, masuk sekolah Cina juga,” kata anak sulung daripada tiga beradik ini.

Kebanyakan daripada 17 rakan sekerja di Meja Mandarin RTM katanya, yang berketurunan Cina, turut membantu Rasyidah bertutur dengan fasih malah mampu menulis bahasa itu malah persekitaran itu menjadikan sebutan dan penyampaian beritanya lebih berkesan dan mudah sampai kepada penonton.

RASYIDAH (dua dari kiri) bersama rakan sekerja di Meja Berita Mandarin RTM. – Foto FB tv2mandarin

“Antara petua sampingan saya ialah kerap menonton pelbagai berita TV termasuk tayangan stesen lain seperti dari China, Hong Kong, Taiwan dan Singapura. Saya juga menggemari lagu dan siri-siri TV berbahasa Cina, membaca akhbar-akhbar Cina dan menonton konsertnya.

“Hampir 90 peratus rakan karib saya juga daripada kaum Cina. Jadi selain bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin, bolehlah bertutur sedikit-sedikit Kantonis disebabkan pergaulan itu. Filem-filem Hong Kong dalam bahasa Kantonis manakala Taiwan, Singapura dan Cina menggunakan Mandarin,” katanya.

Ada panduan tertentu dalam menjadi pembaca berita TV yang bagus?

“Mentor-mentor RTM yang berpengalaman selalu ingatkan begini,

“Jangan anggap membaca berita ni macam berlakon, jangan overacting dalam penyampaian, kena serius tetapi mesra dalam menyampaikan fakta dan bersesuaian dengan kandungan berita. Yang penting, penonton selesa dengan kita dan kita dapat sampaikan maklumat dengan berkesan,” kata Rasyidah.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here