Mohd. Rashid (dua kiri), Dr. Sahruddin dan Dr. Azlinda (dua kanan) bertemu dengan petugas barisan hadapan dalam Program Jelajah Vaksin Bergerak Prihatin Johor di Dewan Serbaguna PPR Sri Stulang, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Persidangan khas Dewan Rakyat selama lima hari bermula 26 Julai ini berkemungkinan hanya membenarkan kehadiran 80 Ahli Parlimen sahaja bagi setiap sesi.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, cadangan itu akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Dewan Rakyat dengan ketua-ketua whip parti dan diputuskan minggu depan sebelum persidangan bermula.

“Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama empat jam sehari bermula 10 pagi hingga 1 petang dan 2.30 hingga 5.30 petang. Cadangan untuk 80 ahli Parlimen sama seperti ketetapan bersidang pada tahun lepas.

“Macam tahun lepas, daripada 222 Ahli Parlimen hanya 80 sahaja yang boleh masuk. Tajuk-tajuk yang akan dibentangkan semasa sesi itu berkisar terhadap isu berkaitan Covid-19.

“Kita bagi ruang kepada Ahli Parlimen untuk bertanya soalan, cuma usul tentang persidangan secara hibrid tidak dibuat kerana kita boleh bersidang secara biasa,” katanya selepas meninjau Program Jelajah Vaksin Bergerak Prihatin Johor di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, di sini hari ini (18 Julai).

Turut hadir, Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal serta Pengarah Sukarelawan dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Sekretariat Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Azlinda Abd. Latif.

Mohd. Rashid berkata, jawatankuasa berkenaan juga akan mencadangkan setiap sesi persidangan itu dihadiri seramai 44 Ahli Parlimen kerajaan dan 36 Ahli Parlimen pembangkang.

“Setiap sesi 80 Ahli Parlimen. Kita ada sesi pagi dan petang, mereka boleh bertukar-tukar (ikut giliran) tetapi perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat.

Selain itu, menteri dan timbalan menteri juga perlu mengehadkan jumlah pegawai yang mengiringi mereka, iaitu dua atau tiga orang sahaja.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here