Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

JOHOR BAHRU – Majoriti daripada 220 Ahli Parlimen sudah mengisytiharkan harta masing-masing seperti yang disyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, hingga kini kurang 10 peratus Ahli Parlimen yang masih belum berbuat demikian.

“Pihak Parlimen sudah menghantar surat kepada mereka untuk isytiharkan harta. Ada antara mereka mempunyai sebab-sebab tertentu tidak dapat isytiharkan harta ketika ini,” katanya sebagai mengulas syor SPRM supaya satu akta digubal bagi mewajibkan anggota pentadbiran, Ahli Parlimen dan Dewan Negara mengisytiharkan harta masing-masing.

Mohd. Rashid ditemui selepas meninjau Program Jelajah Vaksin Bergerak Prihatin Johor di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal serta Pengarah Sukarelawan dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Sekretariat Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Azlinda Abd Latif.

Selasa lalu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, hingga kini tiada sebarang hukuman jelas boleh diambil terhadap mereka yang tidak berbuat demikian.

Ditanya mengenai kes makan durian di sebuah kebun di Batu Pahat hingga tular dalam media sosial baru-baru ini, Mohd. Rashid berkata, semua yang terlibat sudah dipanggil pihak polis untuk memberikan keterangan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk mengambil tindakan lanjut.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here