AWIE mendoakan kontinjen negara tampil di Tokyo dengan prestasi yang bermaruah. - Foto FB Awie Al Pamalo

JIKA 30 atlet negara bakal berjuang sebagai wira-wira Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021) mulai Jumaat ini, Datuk Awie Wings tidak ketinggalan mahu cuba menabur jasa kepada Malaysia biarpun dari arena yang berbeza iaitu seni suara.

“Saya terima tawaran KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk menyampaikan lagu ‘Demi Malaysia’ sebagai hasrat untuk turut menabur jasa kepada negara dan kontinjen Sukan Olimpik Tokyo kita,” katanya.

Legenda rock dan bintang filem ini berpadu suara dengan Jaclyn Victor dan Naim Daniel mendendangkan lagu ciptaan Zimi Sofazr ini yang ibarat ‘seruan juang’ (war cry) kontinjen negara pada temasya ke-32 itu.

‘DEMI Malaysia’ ibarat war cry kontinjen negara pada Sukan Olimpik Tokyo yang bermula Jumaat ini. – Foto MSN

“Sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan Covid-19, kami tidak dapat bertemu dan masing-masing merakamkan lagu ini di studio yang berasingan. Saya di Studio Al Pamalo, Ukay Perdana (Hulu Klang. Selangor).

“Memandangkan lagu ini berunsur patriotik saya, cuba sampaikan semangat kepada kontinjen kita dengan menyelami bagaimana hendak meredah rintangan dalam mendapatkan pingat buat negara,” kata Awie, 53.

‘Demi Malaysia’ berdurasi dua minit 13 saat dengan seni katanya oleh Jerry, mula disiarkan dalam laman Facebook rasmi Majlis Sukan Negara (MSN) dan KBS, 10 Julai lalu.

“Saya juga mendoakan mereka pergi ke Tokyo dengan penuh semangat untuk menaikkan nama Malaysia dan berjuanglah habis-habisan untuk membawa pulang pingat emas (sulung) Olimpik kita.

AWIE merakamkan lagu ‘Demi Malaysia’ secara berasingan di Studio Al Pamelo. – Foto MSN

“Kalau atlet kita tidak dapat juga, hendak buat macam mana tetapi biarlah dengan persembahan yang penuh bermaruah,” katanya yang bukanlah begitu asing dalam menyampaikan lagu bertema kesukanan dan patriotik.

“Saya pun dulu pernah menyanyikan satu lagu tema Sukan SEA Singapura 1993 dengan beberapa artis negara Asia lain sebelum ke Australia.

“Sebab sudah lama, saya pun sudah lupa apa judulnya dan siapa penyanyi yang turut berpadu suara ketika merakamkannya di Singapura,” kata penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu hits kumpulan Wings seperti ‘Misteri Mimpi Syakilla’, ‘Taman Rashidah Utama’ dan ‘Sejati’ ini.

Kontinjen negara akan berjuang dalam Olimpik Tokyo sehingga 8 Ogos ini dalam sembilan jenis sukan iaitu badminton, akuatik (terjun dan renang), pelayaran, memanah, olahraga, berbasikal, golf, gimnastik dan menembak.

“Semasa sekolah dulu, rasanya dalam 1983 adalah juga saya mewakili daerah dalam sukan sepak takraw. Saya main sebagai tekong tetapi sampai situ sahaja,” kata pemilik nama sebenar, Ahmad Azhar Othman ini.

Bakat sepak takraw Awie turut diselitkan dalam filem ‘Merah’ dengan potretnya yang memegang bola sepak takraw bersama-sama dua lagi pendukung watak rakannya lakonan komposer terkenal, Datuk M. Nasir dan Allahyarham Hani Mohsin.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here