KOTA BHARU – Kerajaan negeri sedia dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 hingga 2019.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata semua EXCO sedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan.

“Setakat ini, SPRM tidak memaklumkan apa-apa dan kita juga tidak mahu mengganggu siasatan mereka, kita serahkan kepada SPRM untuk membuat siasatan lanjut.

“Setakat ini, belum ada EXCO dipanggil dan kita difahamkan masalah yang berlaku membabitkan isu di peringkat pengurusan.

“Jika mana-mana EXCO dipanggil, kita sedia memberi kerjasama penuh,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan di Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor di sini, hari ini.

Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Mohd Amar turut mengakui isu berkenaan memberi imej buruk kepada kerajaan negeri.

“Memang betul apa yang berlaku beri imej buruk kepada kerajaan negeri kerana selama ini kita kata kita bersih daripada rasuah, namun sebaliknya yang berlaku.

“Bagaimanapun kes berkenaan masih dalam siasatan dan sekiranya benar berlaku, SPRM boleh membawa kes itu ke mahkamah. Kita ikut proses undang-undang,” katanya.

SPRM sebelum ini menahan tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus besar AKSB bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019.

Dua lagi yang ditahan bersama bekas pengurus berumur 60 tahun itu adalah seorang pegawai AKSB yang berusia 39 tahun dan seorang pengurus projek sebuah syarikat berusia 43 tahun.

Bagaimanapun, mereka sudah dibebaskan dengan jaminan.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/840706/sedia-dipanggil-sprm

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here