KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi jaminan bahawa beliau akan bertanggungjawab ke atas Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memastikan hak umat Islam dan bakal jemaah haji terpelihara.

Katanya, kuasa menteri agama ke atas institusi itu akan terus kekal selaras dengan peruntukan Seksyen 10 Akta TH 1995 terutama dari segi operasi dan penyelarasan jemaah haji.

“Kawaselia BNM (Bank Negara Malaysia) ke atas TH tidak akan menghakis hak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan umat Islam ke atas TH.

“Ini kerana setiap institusi kewangan yang dikawalselia BNM mempunyai model pengurusan berbeza dan boleh terus mengekalkan punca kuasa sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, cadangan penambahbaikan pengurusan dan operasi TH bertujuan mewujudkan penambahbaikan dalam pengoperasian institusi itu.

“Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjunjung nilai integriti dan tadbir urus yang baik berasaskan lapan prinsip utama yang digariskan United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP),” katanya.

Menurut Zulkifli, oleh kerana TH diamanahkan menjaga wang lebih 8.3 juta pendeposit, pengoperasiannya perlu dilaksanakan dengan jujur, amanah dan berintegriti.

“Pemusatan kuasa yang terlalu besar ke atas suatu individu atau pihak, bagi institusi kewangan terbesar umat Islam ini, dikhuatiri boleh membuka jalan kepada ketidakcekapan tadbir urus yang bakal membawa mafsadah besar kepada TH.

“Oleh itu, perlunya satu kawalselia dari badan yang berkepakaran seperti BNM bagi memastikan TH kekal pada landasannya,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan model baharu operasi TH bertujuan menambahbaik tadbir urus serta model perniagaan dan akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, BNM dan TH.

“Ini bagi memastikan TH sentiasa mampan dalam menguruskan ibadah haji umat Islam di Malaysia, selain melaksanakan perniagaan dan pelaburan bagi memberikan potensi pulangan yang baik untuk pendeposit, sekaligus menjana ekonomi umat Islam,” ujarnya.

Justeru Zulkifli berharap semua umat Islam dapat memberikan kepercayaan kepada beliau, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta kerajaan melaksanakan penambahbaikan tersebut.

“TH mempunyai signifikan yang besar ke atas umat Islam. Perkara utama ialah memperkasa TH serta berada dalam situasi tadbir urus yang diyakini tanpa sebarang keraguan,” ujarnya.

Jelas beliau, mereka akan terus memastikan hak umat Islam kekal terpelihara melalui penambahbaikan operasi TH.

“Semoga TH terus maju menguruskan amanah umat Islam dan bakal jemaah haji Malaysia,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here