Making ketupat (traditional Malay rice cake) during Eid
Photo by Farhan Azam on Unsplash
Oleh Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli

BULAN Zulhijjah merupakan antara bulan yang istimewa dalam Islam, terutamanya 10 hari awal Zulhijjah. Allah SWT telah bersumpah dengan 10 hari bulan Zulhijjah seperti tertera dalam surah al-Fajr ayat 1-2: Demi waktu fajar. Dan malam yang sepuluh.

Bahkan Rasulullah SAW turut menyatakan: Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini. Iaitu 10 hari terawal Zulhijjah (Riwayat al-Bukhari, 969; Abu Daud, 2438).

Pada dasarnya, kemuliaan ini adalah kerana padanya terkumpul segala induk ibadah yang disyariatkan seperti solat, puasa, sedekah dan haji yang tiada pada bulan-bulan selainnya. Di samping itu, keistimewaan lain yang tiada dalam baki bulan lain adalah ibadah korban yang dilaksanakan selepas solat sunat Aidiladha dan hari-hari tasyrik. Pada empat hari ini umat Islam diharamkan untuk berpuasa.

Selain itu, bulan Zulhijjah juga tidak dikhususkan kepada mereka yang mengerjakan ibadat haji di Mekah semata-mata, sebaliknya bagi mereka yang tidak mengerjakan haji di seluruh dunia digalakkan bersama-sama mengimarahkan bulan Zulhijjah dengan berpuasa sunat pada 9 hari awal Zulhijjah, termasuklah hari Tarwiyah dan Arafah, menggandakan amalan kebaikan seperti sedekah, mendirikan solat sunat Aidiladha dan melaksanakan ibadah korban.

Kebiasaannya, dalam masyarakat Melayu, hari raya Aidiladha disambut dengan meriah. Perayaan besar ini diraikan selari dengan panduan Syarak dan disempurnakan dengan pelbagai tradisi masyarakat.

Lazimnya, penerapan syariat Islam dalam masyarakat sama ada dalam ketetapan yang bernilai wajib, sunat, makruh, haram atau harus, pada asasnya tradisi dan budaya setempat turut berperanan dalam mewarnai pelaksanaannya sebagai pelengkap. Ibaratnya Syarak mengato, adat memakai.

Umpamanya, dalam sunat berpakaian bersih pada hari raya diterima dan diwarnai oleh tradisi masyarakat Melayu dengan penciptaan busana raya yang indah. Ia dapat dilihat dalam pelbagai fesyen pakaian dari yang berbentuk moden atau tradisional.

Misalnya jubah, baju Melayu, baju kurung, baju Melayu moden, kurta dan sebagainya. Tidak terhenti di situ, set telekung solat turut dipelbagaikan corak dan kini set telekung hadir dengan warnanya yang berwarna warni.

Di samping itu, berbagai jenis inovasi tudung juga dihasilkan untuk memeriahkan sambutan hari raya. Sedangkan arahan asalnya hanya berpakaian bersih dan menutup aurat sahaja, kemudiannya dilengkapkan dengan pelbagai persalinan baru yang indah.

Selain itu, arahan berbentuk sunat dalam sambutan Aidiladha antaranya adalah memakan juadah selepas solat Aidiladha, namun diterjemahkan dalam masyarakat Melayu dengan penyediaan pelbagai hidangan untuk dinikmati pada hari raya di samping sebagai persediaan bagi menyambut tetamu yang bakal datang menziarahi.

Makanan-makanan perayaan atau festival disediakan sesuai dengan tradisi masyarakat Islam setempat dan kearifan tertentu seperti ketupat, lemang, burasak, rendang dan pelbagai aneka lauk pauk dan kuih-muih. Apa yang jelas, makanan perayaan ini hanya terdapat khusus pada sambutan hari raya sahaja.

Dalam pada itu, anjuran ziarah menziarahi selepas solat sunat Aidiladha turut diwarnai dengan tradisi kunjung-mengunjung antara satu sama lain, baraan dari rumah ke rumah dan majlis rumah terbuka untuk mengeratkan silaturrahim.

Pertemuan tahunan ini dapat dilihat dalam sambutan Aidiladha bermula dari waktu pagi hinggalah ke malam. Ini kerana pada hari ini biasanya pintu-pintu rumah akan terbuka kepada sesiapa sahaja untuk dikunjungi dan kesempatan ini diambil untuk mengunjungi sanak saudara dan rakan taulan.

Dalam tradisi masa kini, sambutan hari raya dan tradisi rumah terbuka diraikan selama sebulan dalam perayaan Aidilfitri dan empat hari pada Aidiladha dan hari tasyrik bagi memenuhi undangan majlis kenduri korban.

Begitu juga dengan galakan sunat bersedekah, amalan ini diwarnai masyarakat Melayu menjadi tradisi pemberian duit raya atau sampul raya kepada kanak-kanak, remaja dan warga emas.

Pemberian ini dalam pelbagai jumlahnya mengikut kemampuan pemberi dapat menimbulkan rasa gembira dan menambahkan keceriaan sambutan hari raya terutama kepada kanak-kanak. Mereka akan berjalan dari rumah ke rumah untuk mengumpulkan duit raya dan kemudiannya ada yang disimpan dan ada yang dibelanjakan.

Betapa indahnya simbiosis mutualisme antara arahan Syariat Islam dengan amalan tradisi dan budaya masyarakat Melayu khususnya ketika menyambut perayaan besar sebelum pandemik COVID-19. Ini kerana masyarakat menjadi medan penerapan wahyu dan arahan Allah SWT, dan manusia menjadi makhluk yang ditaklifkan Allah untuk memikulnya. Kemudiannya proses ini diterjemahkan dalam bentuk ibadat (umum dan khusus), dan muamalat (umum dan khusus) di samping membentuk tradisi dan budaya setempat.

Jelasnya, paduan antara unsur wahyu yang bersumberkan ketuhanan (Rabbani) dan akal yang bersifat kemanusiaan (manusiawi) telah mewarnai proses pembentukan kebudayaan dan tradisi masyarakat Islam.

Intihanya, tidak semua tradisi yang lahir dalam masyarakat bersifat buruk (fasid), sebaliknya terdapat berbagai tradisi yang bersifat baik (sahih) yang boleh diamalkan. Pendekatan ini juga selari dengan kaedah fiqah: Adat diperakui sebagai nilai hukum. Dengan kata lain, sebarang tradisi yang baik dan tidak bercanggah dengan syariat Islam boleh diamalkan dalam masyarakat hingga kemudiannya membentuk budaya yang Islami.

Misalnya seperti memakai pakaian baru ketika Aidiladha, menyediakan juadah makanan perayaan, ziarah menziarahi, menghormati tetamu dan memberi sampul raya. Manakala tradisi yang tidak baik seperti melakukan pembaziran makanan, monopoli daging korban dan bermain mercun secara berlebihan perlu ditinggalkan.

– BebasNews

Mohd Anuar Ramli

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli berkhidmat di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Emel: [email protected]

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here