Oleh Yusoff Ahmad Shariff

PERSONALITI TV British yang kontroversial Katie Hopkins akan diusir dari Australia kerana mencabar keperluan kuarantin di hotel.

Hopkins yang sering kali mengundang kecaman kerana pendirian rasis beliau tiba ke negara itu baru-baru ini untuk mengambil bahagian  dalam program TV ‘Big Brother Australia’, lapor bbc.com.

Pada Jumaat lalu beliau telah memuat naik sebuah video dari bilik hotelnya di Sydney dengan kenyataan bahawa beliau sengaja meletakkan kakitangan hotel itu dalam keadaan bahaya dijangkiti Covid-19.

Dalam video tersebut Hopkins berkata beliau merancang untuk ‘menyerang hendap’ pekerja hotel yang menghantar makanan ke biliknya dan akan membuka pintu dalam keadaan telanjang dan tanpa memakai pelitup muka.

Komen beliau itu telah dikecam dengan meluas.

Beliau juga berkata bahawa ‘lockdown’ yang dikuatkuasakan dibanyak negara hanyalah ‘pembohongan besar-besaran’.

Dua bandar raya terbesar di Australia, Sydney dan Melbourne kini berada di bawah perintah ‘lockdown’.

Setelah tidak disenangi ramai Hopkins telah memadamkan video tersebut.

Hari ini (Isnin 19 Jul) kerajaan Australia mengesahkan bahawa visa beliau dibatalkan setelah beliau disingkir daripada program TV tersebut.

Menteri Dalam Negeri Australia Karen Andrews menyifatkan komen Hopkins itu terlalu melampau dan bagaikan ‘tamparan’ menghina kepada seluruh rakyat Australia.

Pada tahun lalu Hopkins diharamkan oleh Twitter kerana berkali-kali melanggar dasar tingkah lagi pengguna pada platform media sosial itu.

Antara komen beliau sebelum ini termasuk bahawa agama Islam amat ‘menjijikkan’.

-Bebasnews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here