Sultan Mosque (Masjid Sultan) in Singapore. This mosque is a famous tourists’ attractions. Went there for prayer.
Photo by Siti Rahmanah Mat Daud on Unsplash
Oleh Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli

DALAM meniti arus kemajuan pesat terutamanya di era 4.0IR dan masyarakat pintar 5.0., banyak amalan dalam masyarakat Islam terdedah kepada perubahan.

Tambahan pula kini kita diasak oleh ancaman virus COVID-19. Kebergantungan terhadap teknologi dalam memudahkan urusan kehidupan semakin mendesak dan mengubah corak komunikasi yang berbentuk tradisional.

Normal baharu membawa perubahan besar dalam hidup kita kini. Kesannya, banyak amalan yang dipraktikkan sebelum ini telah berubah disebabkan pandemik COVID-19 dan desakan perkembangan teknologi semasa.

Perubahan ini turut memberi kesan terhadap sambutan Aidiladha pada tahun ini. Perintah kawalan pergerakan dan larangan merentas daerah dan negeri menyebabkan kita terpaksa menangguhkan sebahagian amalan sebelum ini dengan beralih kepada normal baharu. Kita tidak dapat mudik beraya, tidak dapat ziarah menziarahi dan bertemu dengan kaum keluarga dan sahabat handai.

Namun begitu, situasi ini tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk kita menyambut Aidiladha dengan bermakna biarpun jarak menjadi pemisah antara kita. Sedangkan, dalam sambutan Aidiladha, ada beberapa amalan yang boleh diteruskan dalam bentuk yang baharu.

Selaras dengan itu, kita boleh praktikkan komunikasi digital dalam meraikan sambutan Aidiladha di samping menghubungkan silaturahim. Jadikan ia sebagai normal baharu selagi tidak bertentangan dengan nas Syarak. Kebiasaannya, dalam tempoh pandemik, kita beraktiviti dalam talian sama ada urusan bersifat peribadi ataupun rasmi.

Umpamanya dalam urusan rasmi, ramai yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian yang melibatkan pengajian peringkat pra sekolah sehinggalah pengajian tinggi yang terdiri dari pelbagai peringkat usia.

Selain itu arahan bekerja dari rumah (BDR) yang melibatkan kaki tangan kerajaan dan swasta juga menggunakan medium kerja dalam talian. Mereka terlibat dalam aktiviti yang merangkumi kursus, mesyuarat, pelaporan dan pelbagai urusan lain. Pendek kata, komunikasi dan aktiviti dalam talian sudah tidak asing lagi dan menjadi normal baharu dalam kalangan majoriti penduduk Malaysia.

Sehubungan dengan itu, sempena sambutan Aidiladha tahun ini yang bakal dilalui dengan pembatasan pergerakan, kita boleh memanfaatkan teknologi digital bagi menyemarakkan lagi suasana perayaan. Biarpun jasad kita tidak dapat bertemu secara fizikal, kita masih lagi dapat berbual dan menatap wajah dari pelbagai lokasi yang berbeza.

Malahan bermula malam raya, kita telah boleh menghidupkannya dengan aktiviti secara bersama kaum keluarga dalam talian. Selepas solat maghrib di lokasi masing-masing, kita boleh memasuki dunia digital beramai-ramai.

Aktiviti dalam talian boleh diisi dengan mengalunkan takbir raya beramai-ramai, bacaan al-Qur’an, berzikir, berselawat, sesi tazkirah, dan ucapan raya secara individu atau wakil keluarga kecil. Ia boleh diakhiri dengan bacaan doa dan sesi fotografi beramai-ramai. Program ini juga boleh dilangsungkan dalam suasana kekeluargaan dan penuh kemesraan.

Bahkan ziarah dalam talian masih boleh diteruskan dari sebuah rumah ke rumah yang lain pada keesokan harinya. Jangan biarkan malam raya kita menjadi sunyi dan suram, sebaliknya manfaatkanlah teknologi digital sebagai medium komunikasi.

Dengan sambutan dalam talian sebagai alternatif normal baharu, kita dapat mengelakkan penularan virus dari merebak dalam keluarga besar kita. Penularan ini boleh mengancam nyawa warga emas, golongan lemah imuniti dan kanak-kanak.

Di samping itu, penganjuran program berbentuk kekeluargaan ini dapat mengurangkan kemurungan dan tekanan perasaan khususnya bagi mereka yang tidak dapat pulang menyambut Aidiladha di kampung halaman.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah bersabda: Siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya hendaklah dia menyambung silaturahim. (Riwayat al-Bukhari, 5986 dan Muslim, 2557). Berdasarkan hadis tersebut, Rasulullah menegaskan bahawa kelebihan menghubungkan silaturahim dapat dilihat dalam dua manfaat. Pertama, menyebabkan murah rezeki dan kedua dipanjangkan usia kita.

Ini kerana perasaan gembira dan bahagia dapat menyebabkan ketenangan hati dan jiwa manusia, dan mendorong rasa optimis untuk meneruskan kehidupan berbanding perasaan sedih dan keseorangan yang boleh menyebabkan kemurungan dan juga tekanan perasaan, akhirnya boleh membawa kepada kematian.

Di samping itu, dalam suasana meraikan sambutan Aidiladha dengan pembudayaan normal baharu, amalan pemberian duit raya ini boleh dimanfaatkan dengan pelbagai teknologi yang ditawarkan terutamanya berbentuk tanpa sentuhan antara pemberi dan penerima.

Di antaranya adalah aplikasi DuitNow dan QRPay yang ditawarkan oleh pihak bank, pemindahan terus ke dalam bank akaun penerima dan kredit E-Dompet seperti Boost, Touch n Go dan seumpamanya. Teknologi ini menjadi sebahagian amalan baharu dalam masyarakat kontemporari.

Oleh itu, ciptalah kebahagiaan dalam kekangan yang ada kerana kita berhak untuk hidup bahagia. Gunakan medium teknologi yang ada untuk bertanya khabar, dan meraikan sambutan Aidiladha bersama keluarga dalam suasana penjarakan fizikal. Kita perlu berubah untuk mengadaptasi teknologi bagi meneruskan amalan baik dalam masyarakat di samping menjaga nyawa pelbagai pihak.

Justeru, dengan pembudayaan normal baharu dalam sambutan Aidiladha kali ini, semoga ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita. Biarpun jarak menjadi pemisah antara kita, namun hubungan silaturahim dan kasih sayang tidak dapat diputuskan. Semoga pandemik COVID-19 segera berakhir agar kita dapat menyambut Aidiladha kembali dalam normal biasa.

– BebasNews

Mohd Anuar Ramli

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli berkhidmat di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Emel: [email protected]

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here