Oleh Syahir Kassim

KUALA LUMPUR – Sebuah hotel di bandaraya ini yang sudah dua tahun tidak beroperasi akhirnya dijadikan pusat sehenti pelbagai guna dikenali sebagai Rumah [email protected] Seasons.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, hotel tersebut yang mempunyai 300 bilik ditukar fungsi menjadi markas enam aktiviti utama bagi membantu penduduk di Kuala Lumpur.

“Ia berfungsi sebagai dapur, bank makanan, bilik penginapan, pusat gerakan jejak prihatin, khidmat kesihatan mental dan pusat vaksinasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambahnya, beliau pada asalnya mahu mencari tempat untuk memasak sebagai dapur berpusat bagi membekalkan makanan kepada penduduk miskin dan gelandangan di bandaraya ini.

Beliau kemudian berasa lega apabila seorang rakan lama, Datuk Arif Shah Omar Shah memaklumkan bahawa seorang pemilik sedia menyerahkan bangunan itu untuk digunakan bersama 300 bilik dan kemudahan sedia ada.

Katanya, hari pertama melawat bangunan itu beliau berasa buntu dan tidak tahu apa yang boleh dilakukan ke atas premis tersebut.

“Idea kemudian timbul selepas beliau berborak santai bertukar pandangan dengan Ebit Liew dan Uncle Kentang kerana kagum dengan usaha mereka gigih membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

“Saya teringin berbuat sesuatu yang sama, kalaupun tidak sebanyak mereka, bersama NGO (badan bukan kerajaan) dan sukarelawan yang ada,” katanya.

Menurut Annuar, beliau kemudian menulis surat kepada pemilik bangunan dan memaklumkan cadangan program yang mahu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dan PERMAI serta sebuah NGO yang dipimpin oleh Arif Shah.

Katanya, setelah mendapat persetujuan dari pemilik bangunan secara hitam putih beliau meminta bantuan pengurusan Hotel Pulse Grande Putrajaya untuk menguruskan Grand Seasons dan membimbing para sukarelawan.

“Saya bernasib baik kerana di Putrajaya ada hotel milik Perbadanan Putrajaya. Jadi saya minta bantuan kepakaran mereka dan dalam masa dua minggu semua kerja selesai,” katanya.

Beliau menambah, dapur prihatan berfungsi menyediakan makanan percuma untuk golongan fakir miskin, gelandangan, petugas barisan hadapan serta musafir, manakala bilik penginapan tersedia untuk pihak yang memerlukan penginapan sementara dengan bayaran bermula dari RM30 semalam.

Katanya, pusat itu juga bersedia menerima makluman berkenaan golongan miskin bandar bagi memudahkan NGO menyantuni mereka, selain ia juga berfungsi sebagai pusat vaksinasi untuk warga emas, peniaga, penjaja dan orang kelainan upaya.

“Khidmat kaunseling turut disediakan untuk individu, keluarga dan kelompok yang memerlukan sokongan emosi selain berfungsi pusat bank makanan bagi golongan yang memerlukan dan pihak yang ingin menyumbang amat dialukan,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here