GAMBAR: Aziz A. Shariff.

 

Oleh Zainal AS Rashid

PASUKAN Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan salah laku semasa program imunisasi dan tidak akan teragak-agak untuk memberhentikan mana-mana petugas terbabit.

CITF berkata badan itu memandang serius dakwaan berhubung pemberian suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditularkan.

Dalam satu kenyataan pada Selasa (20 Julai) CITF berkata ia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera dalam menyiasat perkara tersebut agar ia tidak berulang.

Menurut CITF terdapat dakwaan membabitkan pusat vaksin pandu lalu khas untuk anggota tentera dan ahli keluarga.

Kejadian dikatakan berlaku pada 17 Julai di sebuah pusat vaksin pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah.

Juga, baru-baru ini muncul dakwaan bahawa picagari kosong telah digunakan di Stesen Penerima Pesakit di kem tersebut dan susulan itu siasatan dimulakan oleh pihak Angkatan Tentera.

CITF berkata beberapa individu telah diarahkan untuk memberi penjelasan, selain mengambil tindakan disiplin.

Pasukan Petugas itu juga sedang menyiasat dua laporan penggunaan picagari kosong yang digunakan sewaktu proses vaksin.

Satu kes dikatakan berlaku di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec) pada 17 Julai yang dilaporkan oleh orang ramai.

Satu lagi kes didakwa berlaku di Bangi Avenue Convention Centre pada 18 Julai, dan laporan dibuat oleh seorang pegawai penjagaan kesihatan.

Prosedur yang betul semasa pemberian vaksin ialah bagi setiap petugas menunjukkan picagari penuh kepada penerima sebelum suntikan dibuat.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya melihat picagari sebelum dan selepas proses vaksin supaya yakin bahawa vaksin telah disuntik seperti yang sepatutnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa dia disuntik dengan picagari kosong di sebuah PPV.

Jurutera perisian Tan Wing Sam yang menulis pada Facebook berkata kejadian berlaku semasa dia berkunjung ke Mitec pada Sabtu.

Pada awal bulan ini, seorang lagi pengadu berkata dia disuntik menggunakan picagari kosong di sebuah PPV.

Polis juga sedang menyiasat kes tersebut.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here