GAMBAR: Wikimedia Commons.

 

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

PASARAN saham Asia merosot pada Selasa (20 Julai) susulan kejatuhan di Eropah dan Amerika Syarikat pada Isnin yang dicetuskan oleh kebimbangan bahawa peningkatan kes Covid-19 akan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Indeks Nikkei Jepun jatuh 1% ke paras paling rendah sejak enam bulan, dan Hong Kong Hang Seng turut mengalami kejatuhan 1%, lapor bbc.com.

Pada Isnin, kedua-dua indeks UK FTSE 100 dan US Dow Jones Industrial Average merudum lebih daripada 2%.

Bagaimana pun, saham di London dan seluruh Eropah bermula dengan kukuh pada Selasa.

Indeks FTSE 100 melonjak kembali sebanyak 1%, sementara indeks utama Eropah menyaksikan keadaan yang sama.

Kejatuhan pada Isnin menyusul setelah para pelabur menyatakan kebimbangan tentang peningkatan jumlah kes Covid-19 di sesetengah negara disebabkan jangkitan varian Delta.

Saham di Jepun jatuh pada lima sesi berturut-turut berikutan kebimbangan tentang peningkatan bilangan kes Covid-19 yang dikhuatiri boleh menjadi lebih buruk dengan adanya temasya Sukan Olimpik Tokyo.

Penganalisis kanan pasaran Jeff Halley dari Oanda memberitahu BBC bahawa para pelabur amat bimbang dengan penularan pantas varian Delta yang akan menjejaskan pemulihan global, terutama di Asia di mana kadar vaksinasi amat rendah, dan sesetengah vaksin dikatakan seolah-olah tidak menunjukkan kesan.

Beliau percaya  dunia akan berdepan dengan keadaan tidak menyenangkan pada minggu akan datang, apatah lagi dengan pasaran saham didorong sentimen dan bukannya data.

Sementara itu, sektor perniagaan di United Kingdom menyatakan bahawa mereka akan menghadkan waktu operasi, menutup kedai atau mengurangkan pengeluaran kerana pekerja terpaksa dikuarantin setelah diminta oleh pihak Perkhidmatan Kesihatan kebangsaan (NHS) melalui aplikasinya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here