Foto FB Darul Insyirah

PADA setiap 10 Zulhijjah dalam kalendar Islam pasti akan diadakan sambutan Hari Raya Haji atau dikenali juga sebagai Hari Raya Korban.

Hari Raya Haji disebut sempena berlangsungnya Rukun Islam kelima iaitu ibadah haji di Tanah Suci Mekah, Arab Saudi.

Manakala nama Hari Raya Korban itu pula adalah sempena diadakan ibadah korban haiwan ternakan halal selepas menunaikan solat sunat dua rakaat Aidiladha pada 10 Zulhijjah, kemudian diikuti tiga hari kemudiannya sehingga 13 Zulhijjah.

Tiga hari kemudian yang dimaksudkan itu ialah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah merupakan hari Tasyrik sepanjang ibadah haji berlangsung.

Lazimnya haiwan ibadah korban ikhlas kerana Allah SWT yang sempurna sifat dan menepati syaratnya itu terdiri daripada lembu, kerbau, kambing dan unta.

Terdapat dalil yang jelas mengenai ibadah korban adalah berpandukan kepada surah al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kami (Allah SWT) telah memberi engkau (ya Muhammad SAW) akan kebajikan yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan sembelihlah (haiwan) korbanmu.” (Al-Quran Surah al-Kauthar, ayat 1-2).

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah pula Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mempunyai kemampuan tetapi tidak melakukan ibadah korban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami.”

Sejarah ibadah korban yang diteruskan oleh umat Islam sehingga kini adalah lanjutan daripada kisah Nabi Ibrahim AS mendapat petunjuk menerusi mimpi benar diperintahkan supaya menyembelih (mengorban) anak kesayangannya, Nabi Ismail AS yang turut dipersetujui oleh anaknya itu.

Kisah tersebut bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibas) yang besar.” (Al-Quran Surah as-Safaat, ayat 107).

Untuk rekod, kibas dikatakan berupa haiwan daripada spesies mirip kambing besar pernah terdapat di tempat Nabi Ibrahim berada pada zamannya itu.

Sejak daripada peristiwa Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS itu, maka ibadah korban berlanjutan ke zaman Nabi Muhammad SAW dan kekal sebagai sunnah Rasulullah SAW.

Apakah hukumnya keperluan melakukan ibadah korban? Para ulama berlainan mazhab memberikan pendapat berbeza kerana ada yang mengatakan wajib, namun terdapat juga ulama yang menyatakan bagi mereka yang berkemampuan dilakukan sebagai perkara mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Dalam pada itu ada juga ulama fiqah yang berpendapat bahawa ibadah korban sebagai satu perkara sunnah muakkad yang bermaksud sunnah yang dituntut.

Jikalau dikaji secara mendalam, ternyata falsafah di sebalik ibadah korban yang kekal dilaksanakan hingga kini oleh umat Islam yang berkemampuan itu adalah sebagai satu kaedah untuk merapatkan silaturahim dan sambil berbahagi rezeki (daging korban) dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada fakir miskin serta golongan yang layak menerimanya.

Namun demikian pada zaman sekarang konsep ibadah korban itu diperluaskan kepada pengertian yang lebih luas kepada aspek pengorbanan suci perkara lain antaranya seperti pengorbanan petugas barisan hadapan ketika pandemik Covid-19, pengorbanan ikhlas ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak, pengorbanan individu membantu golongan dalam kesempitan hidup dan sebagainya lagi.

Pengorbanan suci dan ikhlas tanpa mengharapkan balasan baik daripada mereka yang dibantu mahupun memburu pahala dan syurga adalah sebaik-baik pengorbanan di sisi Allah SWT kerana perkara itu semua adalah hak bagi-Nya untuk menentukan di hari akhirat kelak.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here