KUALA LUMPUR-Bekas Perdana Menteri mencadangkan kerajaan menawarkan `bonus besar’ kepada doktor kontrak sekiranya tidak mampu mengambil mereka sebagai pegawai perubatan tetap.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak boleh membisu dalam menangani isu doktor kontrak yang perlu diselesaikan secepat mungkin dan tidak menambah kemarahan mereka.

“Sekiranya kerajaan tidak mampu mengambil keseluruhan doktor kontrak sebagai kakitangan tetap, sekurang-kurangnya tawarlah bonus yang besar pada akhir kontrak.

“Jangan kedekut kepada doktor dan ketika negara masih berdepan krisis kesihatan. Ini bukan masa untuk kamu (kerajaan) buang masa runding-runding,” katanya dalam entri Facebooknya hari ini.

Najib berkata, tanda-tanda sesebuah kerajaan itu gagal apabila kerajaan tidak lagi mampu memberikan rawatan dan perhatian kesihatan sewajarnya kepada rakyat.

Ujarnya lagi, membuat penafian dan tidak memperbaiki keadaan kritikal tersebut adalah satu jenayah dan dosa besar di dunia dan akhirat.

“Justeru, langkah pertama menyelesaikan masalah ialah untuk mengaku kita ada masalah dan bukan menafi.

“Jangan pandang sahaja apabila rakyat kita sakit dan menafikan keadaan sudah menjadi paling kritikal. Sebab kita sudah cecah paras 133,000 kes Covid aktif dan nombor ini sedang meningkat 5,000 ke 7,000 setiap hari sejak sebulan lalu,”katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here