Oleh MUZLINA ABU BAKAR

SETELAH terlalu banyak kita disogokkan dengan drama cinta yang membosankan, kehadiran drama rantaian “Ayahanda” bagaikan santapan jiwa dalam kita merenung sejenak hubungan dan nilai kasih sayang seorang ayah terhadap anak-anaknya.

Menghayati “Ayahanda” yang mula bersiaran melalui slot Lestari di TV3 pada 10 Julai setiap Rabu hingga Sabtu pukul 9 malam sesuatu yang pasti benarlah apa yang dikatakan seorang ibu boleh menjaga 10 anak tetapi seorang anak belum tentu boleh menjaga ibu atau ayah mereka.

Begitulah dengan seorang ayah biar mungkin zahirnya nampak garang dan tegas namun jauh di sudut hatinya tersimpan kemas perasaan kasih sayang yang sukar digambarkan kerana begitulah sifat seorang lelaki, egonya tidak bertepi.

AHMAD TAMIMI SIREGAR di set penggambaran “Ayahanda” di Perlis.

Walaupun “Ayahanda” terbitan Zeel Productions baru lima episod menemui para peminat yang dahagakan kelainan apa yang nyata naskah daripada novelis terkenal, Allahyarham Azizi Haji Abdullah cukup kemas dan berkesan dizahirkan oleh pengarahnya, Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

“Sudah sekian lama saya menghayati naskah ini kerana ia pernah menjadi buku teks aliran sastera. Ia bukan asing bagi saya sebab itu apabila Haji Zeel menawarkan saya mengarah drama ini saya terima sebab ia memang dekat di hati saya,” jelas Ahamd Tamimi apabila ditanya pandangannya tentang drama rantaian kedua arahannya untuk siaran TV3 dengan yang pertama “Isteriku Mem Besar.

Menurut Ahmad Tamimi, sebagai penonton mungkin ada yang marah melihat sikap anak bungsu Imam Abdullah iaitu Aziz namun realitinya Aziz itu adalah gambaran watak ayahnya.

“Sebenarnya antara Imam Abdullah dan Aziz tiada bezanya cuma yang membatasi mereka adalah usia, itulah nilai murni antara anak dan ayah yang sarat di jiwa mereka. Jika ada yang marahkan Aziz kerana sikap keras kepalanya itulah sikap sebenar ayahnya, Abdullah.

JALIL Hamid sebagai Imam Abdullah dalam satu babak drama rantaian “Ayahanda”‘yang ditayangkan setiap hari Rabu hingga Sabtu pukul 9 malam di TV3.

“Ayahanda bukan sahaja mencerminkan sikap si ayah malah ia juga menunjukkan dalam sifat tegas seorang suami terhadap isteri namun perasaan kasih dan sayangnya terhadap isteri tidak pernah berkurang meskipun tidak terlafaskannya! Itulah konflik seorang ayah dan suami yang tidak mampu menzahirkan kasih sayangnya.

“Dalam usia saya mencecah 71 tahun ini, sebenarnya apabila mendapat naskah seperti ini, ia amat menyentuh hati saya. Disebabkan itu walaupun ketika penggambaran kami berada di dalam keadaan ‘tertekan’ menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) namun saya pastikan mesej novelis terkenal ini sampai kepada para penonton.

“Saya amat berterima kasih dengan semua yang terlibat dalam penerbitan drama ini. Saya rasa amat bertuah kerana tenaga kerja drama ini seperti artis dan kru memberi komitmen melebihi apa yang saya harapkan. Apalagi dengan kehadiran dua tokoh dalam bidang lakonan, Jalil Hamid dan Fauziah Datuk Ahmad Daud.

“Bekerja dalam suasana kekangan waktu dan sentiasa mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara walaupun Perlis mencatatkan kes hariannya satu angka namun kami tetap berhati-hati dan menjaga SOP biarpun saya sedar ianya tidak mencapai kepuasan seratus peratus,” jelas Ahmad Tamimi.

Menurut Ahmad Tamimi, meskipun mereka bekerja tanpa mengira waktu kerana pihak Zeel Productions sudah mempunyai tarikh untuk disiarkan namun bersyukur kerana segalanya dipermudahkan sama ada dari segi mendapatkan lokasi, keadaan cuaca yang baik dengan tenaga kerja yang tidak boleh melebihi 15 atau 20 orang termasuk artis dan kru.

Bagaimanapun katanya, apa yang beliau pastikan dan sentiasa jaga kru dan artis tidak boleh bekerja lebih daripada 12 jam sehari apalagi penggambaran selama 39 hari yang mana 29 hari adalah di bulan puasa dan 10 hari sebelum itu.

“Kita ni bukannya robot tetapi pada waktu yang sama kita juga diberi tarikh untuk disiapkan. Disebabkan itu, sebelum masuk set saya lengkapkan ‘storyboard’ agar tidak terfikir-fikir dari sudut mana saya mahu merakamkan babak-babak pada hari tersebut kerana dalam sehari harus siap antara 20 atau 23 babak.

“Sementara itu bagi scene yang dialognya panjang saya pastikan kru yang dipertanggungjawabkan sudah siap dengan ‘idiot board’ (cue kad) agar dapat membantu para pelakon. ‘Idiot board’ selalunya digunakan di Hollywood untuk sebuah program berkonsepkan ‘impromptu’ seperti program ‘talkshow’ antaranya David Letterman.

Salah satu babak dari “Ayahanda.”

“Idiot board mencatatkan dialog yang panjang untuk satu-satu babak bagi seseorang pelakon dalam membantu agar penggambaran berjalan lancar,” jelas Ahmad Tamimi.

Bagaimanapun, kata Ahmad Tamimi dalam memastikan beliau mencapai matlamat menyiapkan antara 20 hingga 23 babak setiap hari, kualiti adalah keutamaannya.

“Bagi saya dalam apa juga tugas yang diamanahkan kualiti harus dijaga. Saya amat bertuah kerana berpengalaman bekerja di Studio Production IPTAR pada 1987 dan memilikki Ijazah Sarjana Muda Kemanusiaan (Teater dan Filem) banyak membantu saya menjalankan tugas sebagai pengarah dengan sempurna,” kata Ahmad Tamimi.

Menyentuh mengenai isu yang menjadi viral di media sosial yang mana hanya watak anak-anak Imam Abdullah dan Noriah yang bertutur dalam loghat Utara, Ahmad Tamimi menjelaskan;

“Sebenarnya ada juga yang melontar pandangan kononnya saya tidak membenarkan Imam Abdullah dan isterinya, Noriah bertutur loghat utara kerana mahu mencari kontroversi.

“Dalam berkarya saya tidak pernah terfikir untuk mencari kontroversi. Saya mengamalkan sikap berkerja dengan jujur, mengutamakan kualiti dan yang penting penerbit tidak rugi.

“Sebenarnya saya mempunyai sebab tersendiri mengapa tidak membenarkan kedua watak itu berdialog loghat Utara kerana dialog-dialog berat jika menggunakan ‘bahasa daerah’ ia akan menjadi longgar kerana atrikulasinya tidak kukuh. Demi memastikan keberkesanannya saya mahu watak Imam dan isteri menggunakan bahasa standard agar mudah difahami penonton.

ADZIL TEH atau lebih dikenali Haji Zeel.

“Walaupun kedua watak itu tidak berdialog loghat utara tetapi saya tidak korbankan keindahan bahasa dari novel berkenaan,” tegas Ahmad Tamimi.

Sementara itu, Penerbitnya, Haji Fadzil Teh atau lebih dikenali Haji Zeel menzahirkan rasa syukur kerana “Ayahanda” dapat disiapkan pada waktu yang dirancang demi memenuhi tarikh tayangan yang telah ditetapkan oleh pihak TV3.

“Walaupun perasaan gusar ada di hati maklumlah penggambaran dilakukan ketika negara dikenakan PKP namun saya yakin pilihan saya tetap. Saya yakin Datuk Ahmad Tamimi dapat melaksanakan tugasnya dengan sempurna dan “Ayahanda” akan ditayangkan pada tarikh yang diberikan.

“Sebagai penerbit apabila drama siap pada waktunya itu sudah membuatkan saya senang hati. Walaupun saya sedar ada kekurangannya apabila ada babak-babak tertentu memerlukan ramai pelakon tambahan tetapi kami tidak dapat penuhi kerana harus patuhi SOP.

“Saya tidak menduga drama ini menjadi penantian para peminat drama untuk slot Lestari pukul 9 malam dan saya amat bersyukur apabila ia menjadi ‘trending!’
Ini adalah anugerah terindah buat saya dan semua yang terlibat dalam drama ini,” kata Haji Zeel penuh kesyukuran.

Bukan itu sahaja, malah beliau tidak menduga “Ayahanda” bukan sahaja ditayangkan di TV3 malah drama itu turut ditayangkan di Disney Plus.

Menurut Haji Zeel, apabila drama ini ditayangkan di minggu kedua ada kenalan yang menghubunginya dan bertanya apakah mungkin ada musim kedua drama rantaian “Ayahanda” ini.

“Saya jelaskan kepada mereka tidak akan ada ‘Ayahanda musim kedua kerana novelisnya yang pernah menerima Anugerah S.E.A Write Award pada tahun 1988, Azizi Haji Abdullah telah meninggal dunia pada 11 Ogos 2011,” jelas Haji Zeel.

“Ayahanda” adalah sebuah novel biogrfi dan diterbitkan pada tahun 1997 oleh Creative Enterprise Sdn. Bhd.

Sementara itu pada tahun 2016, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan semula novel “Ayahanda.”

“Ayahanda” mengisahkan seorang imam tua yang degil, Haji Abdullah yang mempertahankan semua jawatannya berkaitan tentang keagamaan walaupun kehadirannya tidak diterima masyarakat. Kehidupannya semakin sunyi dan terpinggir setelah kematian isterinya, Noriah.

“Ayahanda” skrip oleh Wan Mahani Wan Hassan dan Maizura Ederis dilakonkan oleh Jalil Hamid (Haji Abdullah), Noriah (Fauziah Datuk Ahmad Daud), Fikry Ibrahim (Aziz), Norkhiriah, Hairi Safwan, Shah Jaszle, Rita Nadira, Mimi Ernida dan Sherry Ibrahim.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here