Muhamad Khanafi Husin mohon pihak berkuasa cari jalan penyelesaian mengenai kenaikan harga barang binaan.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

DALAM situasi sekarang, tak kiralah perniagaan apa sekalipun, kebanyakannya terkesan kerana pandemik Covid-19. Bagi syarikat besar mungkin boleh meneruskan perniagaan dan hanya mengecilkan operasi tapi bagi syarikat kecil, ada yang terpaksa ditutup kerana tidak dapat pulangan modal.

Bagi Al Ansar IBS PLT, pemaju perumahan yang mempunyai pengalaman sejak 2016 dalam bidang pembinaan rumah teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Malaysia, situasi sekarang tetap memberi impak kepada bisnes mereka.

Keadaan ekonomi yang tidak menentu sekali gus mempengaruhi harga barangan binaan seperti besi, simen dan pasir. Kenaikan harga barangan penting pembinaan itu mencecah 40 ke 80 peratus daripada harga asal dianggap tidak berpatutan.

Tindakan segera perlu diambil untuk mengatasinya bagi mengelak kumpulan kontraktor di negara ini menanggung kerugian lebih besar.

Pengerusi Eksekutif Al Ansar IBS PLT, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, syarikatnya yang sudah lama beroperasi pun turut terkesan dengan situasi tersebut dan memohon pihak berkuasa mencari jalan menanganinya.

“Kenaikan harga barang binaan berlaku sejak awal tahun ini secara mendadak menyebabkan kami penggiat sektor pembinaan seolah-olah semakin hilang upaya dan menanggung beban. Ini disebabkan tidak ada pilihan kerana kontrak yang ditandatangani oleh sesetengah pembeli rumah dibuat sebelum kenaikan harga.

Antara reka bentuk rumah yang ditawarkan sepanjang kempen Promosi Merdeka yang berlangsung pada 15 Julai hingga 30 September 2021.

“Justeru masalah ini mohon diberi perhatian dan tindakan kerana belum nampak tanda-tanda akan pulih sebaliknya terdapat harga barangan yang melambung sehingga mencecah 100 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Promosi Merdeka menerusi Kempen Pemilikan Banglo IBS 2021 (BIOC 2021) melalui dalam talian, baru-baru ini yang bermula pada 15 Julai hingga 30 September 2021.

Menurut Muhamad Khanafi, walaupun berhadapan dengan situasi sukar, pihaknya tetap meneruskan promosi kerana telah dirancang sejak awal tahun dan mengumumkan kepada orang ramai.

Pihaknya juga akur kenaikan harga barang binaan bercampur pula dengan situasi pandemik Covid-19 menimbulkan kesulitan kepada perkembangan syarikat namun percaya terdapat satu kelompok masyarakat yang mempunyai kekuatan kewangan untuk membina kediaman.

“Agak sukar dipercayai tetapi itulah hakikatnya. Walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir dikuatkuasakan di seluruh negara namun melalui dua kempen promosi awal tahun dan hari raya yang lalu telah membuktikan ada pihak yang menabung daripada awal membina banglo kerana kami berjaya mencapai RM8.2 juta nilai jualan.

“Jika digabungkan dengan sasaran kempen promosi merdeka yang dilancarkan iaitu sebanyak 15 unit banglo dengan nilai RM2.5 juta, jumlahnya adalah RM10.7 juta. Angka ini sudah melebihi sasaran keseluruhan hingga akhir tahun sebanyak RM10 juta yang masih berbaki lima bulan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Al Ansar, Farizal Tumiran memberitahu, sebagai menghargai pelanggan pihaknya menyediakan hadiah iringan sepanjang promosi Merdeka, malah pada tarikh istimewa 8.8. 2021 dan 9. 9. 2021 akan diadakan kejutan berganda.

“Bagi melengkapkan kediaman, kami berikan set kabinet dapur melamin sepanjang lapan kaki, di samping kornis siling di bahagian ruang tamu, ruang makan dan ruang keluarga.

“Kami kekalkan pemberian lampu dan kipas setiap ruang seperti promosi sebelumnya, vakum tanpa wayar, televisyen LED 43 inci, perjanjian pembinaan secara percuma juga perlindungan takaful rumah dan perabot untuk tempoh satu tahun.

“Bagaimana pun semua hadiah ini hanya tertakluk kepada lima rekaan yang ditawarkan sepanjang promosi. Antaranya Ria Indah, Azalea, Sakura, Melati dan Orchid dengan harga serendah RM125,000 hingga RM267,000.

Di majlis yang sama Al Ansar IBS PLT juga melancarkan Banglo IBS Hybrid Premium IBS (BIHP) untuk pelanggan yang berminat membina banglo berharga RM1 juta ke atas di tanah seluas melebihi 4,000 kaki persegi.

Farizal berkata, kempen BIHP bermula pada 15 Julai sehingga 31 Disember 2021 yang menyasarkan tiga unit banglo mewah dan berprestij.

Kempen Promosi Merdeka menawarkan harga serendah RM125,000 hingga RM267,000.

“Pembinaan banglo IBS hybrid premium menggabungkan teknologi inovasi IBS dan konvensional kerana keluasannya memerlukan sokongan tiang.

“Hasil kepakaran yang digabungkan memberi fokus rekaan berkonsep resort, palm house dan calet di samping hiasan dalaman, lanskap taman dan kolam renang. Tujuh rekaan diperkenalkan, The Majestic berdinding kaca dan roof top garden, The Suria Majestic, The Irich, The Anjung, The Aurora, The Kayangan dan Villa Bayu,” ujarnya.

Tambahnya, pihak Al Ansar juga akan mengadakan kursus berkaitan teknik pemasangan bata lego dan atap gajah pada 24 dan 25 Julai ini melalui atas talian.

“Kursus terbuka kepada kontraktor yang berminat dan peserta akan diberi keutamaan untuk menyertai projek-projek di bawah Al Ansar pada masa akan datang.

“Buat masa sekarang terdapat 21 projek pembinaan tertangguh akibat PKP dan PKPD yang mana industri pembinaan tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Bagi yang ingin menyertai kursus tersebut atau untuk keterangan lanjut berkaitan Al Ansar boleh menghubungi 01156690669 atau layari http://bangloibs.my/virtual/

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here