Daging korban boleh diagihkan kepada penerima bukan Islam yang susah dan mempunyai hubungan baik dengan orang Islam.
Oleh Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli

PEMBONGKARAN skandal kartel daging sejuk beku pada penghujung tahun 2020 telah menggemparkan pengguna Muslim di Malaysia. Ini kerana daging yang diseludup dan diimport dari negara China, Ukraine, Brazil dan Argentina tidak mempunyai sijil halal.

Daging ini kemudiannya dibungkus semula dan dipalsukan dengan peniruan terhadap jenama produk daging yang halal, sedangkan status asalnya adalah haram. Kejutan ini menyebabkan pengguna Muslim mula hilang keyakinan terhadap daging sejuk beku di pasaran.

Pada dasarnya, daging merupakan sumber protein yang mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia. Keadaan ini mendorong kepada perlakuan jenayah makanan yang tidak hanya bermotifkan keuntungan semata-mata sebaliknya ia turut menyebabkan implikasi negatif sama ada aspek fizikal dan spiritual pengguna Muslim, jika melibatkan makanan halalan tayyiban. Ini kerana mengambil makanan halal adalah tuntutan agama yang perlu dipatuhi bagi pengguna Muslim.

Dalam aktiviti jenayah yang melibatkan haiwan ternakan atau daging, biasanya terdapat sejumlah pelaku yang berkomplot untuk melakukan jenayah. Ia merangkumi pihak peladang, rumah sembelihan, organisasi jenayah rentas sempadan, syarikat logistik, penjual malah kaki tangan pihak berkuasa yang bersubahat dengan menerima rasuah dalam memalsukan dokumen yang berkaitan sebelum daging tersebut sampai ke tangan pengguna. Justeru, kartel daging yang telah lama beroperasi ini berjaya mengaburi mata pelbagai pihak.

Dengan tibanya musim hari raya korban, pihak penjenayah turut memainkan peranan dalam rantaian bekalan daging.

Di antaranya, mereka menyeludup haiwan ternakan melalui sempadan-sempadan negara, mencuri dan menjual ternakan kepada pihak lain, tidak mengisytiharkan status haiwan ternakan yang berpenyakit, malah ada penjual yang menukar haiwan yang ditempah pada awalnya dengan haiwan yang kurang kualiti dan haiwan yang tidak cukup umur untuk dilaksanakan ibadah korban untuk mengaut keuntungan.

Di samping itu juga, ada pihak yang melaksanakan korban tidak mendapatkan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dan permit penyembelihan ternakan.

Proses ini penting bagi memastikan haiwan dalam keadaan sihat dan bebas dari penyakit berjangkit seperti penyakit kuku dan mulut, hawar berdarah, dan ancaman jangkitan zoonotik seperti tuberculosis, salmonellosis dan lain-lain.

Tindakan-tindakan jenayah ini telah mendatangkan keuntungan kepada pihak yang membekalkan ternakan tetapi dalam masa yang sama ia boleh memberi kesan kepada kesihatan dan keselamatan pengguna.

Tegasnya, ia diharamkan dalam Islam kerana boleh mendatangkan kemudharatan kepada manusia. Bahkan status ibadah korban yang dilaksanakan berpotensi menjadi tidak sah kerana keadaan haiwan yang tidak cukup umur dan berpenyakit.

Dalam perbincangan fiqah, ulama menetapkan syarat yang berkaitan dengan haiwan korban. Di antaranya berkaitan dengan umur haiwan ternak yang cukup ketika hendak dikorbankan, haiwan korban tidak boleh kurus dan tiada daging, dan perlu bebas dari penyakit. Dengan itu, bagi memastikan haiwan korban dalam keadaan yang baik dan selamat, patuhilah prosedur yang ditetapkan agar ibadah korban kita diterima di sisi Allah SWT.

Tegasnya, dalam melaksanakan ibadah korban, kita perlu memilih haiwan yang terbaik dan tiada penyakit agar ia dapat dinikmati dengan selamat oleh penerima. Ketika musim ibadah korban inilah ramai orang yang dapat menikmati daging segar berbanding masa yang lain. Tambahan, pengguna Muslim masih lagi mengalami trauma untuk makan daging sejuk beku ekoran pembongkaran jenayah kartel daging.

Selain itu, kita juga sedang melalui fasa pandemik COVID-19, yang mana ramai orang yang terpaksa mengangkat atau mengibarkan bendera putih kerana terputusnya bekalan makanan. Jika kita telusuri dalam sirah Nabi Muhammad SAW, baginda pernah mengeluarkan arahan agar daging korban tidak boleh disimpan melebihi tiga hari.

Peristiwa ini terakam dalam laporan Abu Ubaid: Aku telah bersama Ali bin Abi Talib ketika hari raya korban. Maka beliau memulakannya dengan solat sebelum berkhutbah dan berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menegah kita daripada memakan daging korban melebihi tiga hari”. (Riwayat Muslim, 1969)

Larangan Rasulullah SAW ini adalah disebabkan ada tetamu (orang badwi) yang datang ke Madinah dalam keadaan kelaparan dan kesusahan pada masa tersebut. Jadi daging korban turut diagihkan dan tidak disimpan untuk memenuhi keperluan mereka. Namun begitu, pada tahun berikutnya Baginda SAW telah menasakhkan larangan tersebut dan sahabat boleh menyimpan daging korban melebihi tiga hari. Pemansuhan ini terakam dalam sabda Baginda SAW: Sesiapa yang melakukan korban, janganlah kamu menyimpan sesuatupun daripada daging tersebut di rumah.

Ketika tibanya tahun hadapan, para sahabat bertanyakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, adakah perlu kami melakukan sepertimana tahun lepas? Baginda SAW menjawab: “Makanlah kalian, berikanlah makan kepada orang lain dan simpanlah kerana pada waktu itu (tahun yang lepas) manusia berada di dalam kesusahan (iaitu kelaparan) dan aku menginginkan agar kamu membantu yang lain”. (Riwayat al-Bukhari, 5569).

Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh teladan bagaimana sekuriti makanan diuruskan ketika berlakunya krisis ketidakcukupan kepada capaian sumber makanan dalam masyarakat. Jadi, bagi orang yang melaksanakan ibadah korban, sebaiknya tidak menyimpan daging korban melebihi tiga hari atau mengambil sekadar keperluan sahaja ketika wujud situasi atau kelompok yang kelaparan.

Tindakan ini dapat kita praktikkan dalam pengagihan daging korban pada masa kini agar lebih ramai penerima dapat merasai daging segar. Malahan para penerima juga tidak boleh bersikap tamak dan menimbun daging sehingga orang lain tidak berpeluang untuk merasai daging korban.

Di samping itu, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, daging korban boleh diagihkan kepada penerima bukan Islam yang susah dan mempunyai hubungan baik dengan orang Islam. Daging korban yang boleh diagihkan adalah dari korban yang berbentuk sunat, bukan yang wajib seperti korban nazar. Pandangan ini bersandarkan Irsyad al-Fatwa yang diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan justifikasi maslahah dan siyasah syar’iyyah.

Namun, perlu diketahui bahawa bagi orang India yang beragama Hindu, daging lembu tidak boleh dimakan, sebaliknya mereka boleh diberikan daging kambing yang dikorbankan. Sedangkan bagi kaum Cina dan lain-lain, tiada pantang larang khusus berkaitan dengan pengambilan daging.

Justeru, pada masa kini bekalan daging negara masih lagi belum mencukupi sama ada untuk penggunaan harian di bulan-bulan yang lain ataupun ketika sambutan Aidiladha. Kebergantungan kita kepada daging dan haiwan import mendorong pihak tertentu merancang jenayah makanan bagi mengaut keuntungan tanpa memikirkan risiko kepada pengguna.

Tuntasnya, bagi menjamin bekalan daging dalam negara mencukupi dan tidak bergantung kepada import dari luar, industri ternakan ruminan pada masa ini yang masih berskala kecil perlu dikembangkan dan Pusat Fidlot Negara (NFC) boleh dihidupkan semula. Di samping itu Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) 2021-2030 perlu memfokuskan terhadap pemerkasaan sekuriti makanan khususnya yang melibatkan ternakan ruminan agar isu berkaitan jenayah daging halal dapat ditangani dan kekurangan bekalan haiwan korban ketika sambutan Aidiladha dapat dipenuhi di samping pengguna dapat mengakses kepada bekalan daging halal dan segar di pasaran dengan secukupnya.

 

Mohd Anuar Ramli

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli berkhidmat Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Emel: [email protected]
* Rencana ini adalah sebahagian daripada hasil penyelidikan geran FRGS-FP007-2018A.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here