Oleh Sarfarizmal Saad

Selepas lama ‘berehat’, bermula 26 Julai ini bangunan Parlimen Malaysia akan kembali meriah seperti dulu-dulu. Pengumuman pihak pemerintah untuk memanggil sidang dewan merupakan suatu langkah tepat selepas puas ahli politik mendesaknya.

Syabas kepada ahli dan parti politik yang berjaya mendesak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuka semula sidang dewan kali ini.

Namun, 26 Julai ini penentu kepada semua ahli dewan (sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Negara) membuktikan mereka lakukan apa yang mereka cakapkan sebelum ini.

Bukankah asas desakan mereka untuk membuka Parlimen ini bagi tujuan menjadi platform ‘check and balance’ kepada tindak tanduk kerajaan dalam mengurus pandemik Covid-19?

Jika benar mereka ikhlas, gunakan kesempatan sidang kali ini dengan menumpukan kepada agenda menilai semula semua langkah kerajaan dalam menangani krisis kesihatan dan pemulihan ekonomi.

Dalam menilai, kita harus bersikap jujur dan ikhlas demi rakyat dan negara. Jangan ada agenda tersembunyi berbaur politik kepartian. Jika ada usaha kerajaan yang dianggap menguntungkan rakyat, cakaplah dengan jujur dan berilah sepenuh sokongan. Jangan menegakkan benang yang basah!

Tapi jika ada usaha atau inisiatif kerajaan yang meleset atau gagal, bincanglah sehabis baik untuk cari titik optimum. Bukan sekadar bersidang untuk menonjolkan diri atau bermain wayang.

Kalau nak bermain wayang, tinggalkan kedudukan sebagai ahli Yang Berhormat, dan pergilah belajar menjadi Tok Dalang Wayang Kulit.

Anda merupakan wakil kami, rakyat marhaen di bawah ini. Gunakan kedudukan dan keistimewaan itu untuk membentuk permuafakatan demi rakyat, demi negara.

Ada banyak perkara yang boleh dibincangkan untuk menampal lompong-lompong kelemahan dalam pelaksanaan idea atau inisiatif melawan Covid-19 di Malaysia.

Antaranya pengisytiharan darurat, langkah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), isu vaksinasi, pakej-pakej ekonomi sehinggalah kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jika ada pihak yang tak mahu sidang dewan menjadi ‘sesi taklimat’, jangan nafikan juga ada pihak yang tidak mahu melihat sidang kali ini menjadi gelanggang bermotifkan politik kepartian.

Cukup-cukuplah dengan lalakkan ‘I have a numbers!’. Setiap kali nak bersidang, mesti keluar naratif itu. Berhentilah dari terus berwayang opera. Ini bukan masa yang sesuai.

220 Ahli Parlimen yang ada perlu seia sekata untuk pastikan keutamaan mereka hanya untuk ‘perut dan poket rakyat’.

Sebelum masuk ke pintu Parlimen Malaysia nanti, tolong perbaharui nawaitu masing-masing.

“Aku masuk ke Parlimen Malaysia ini hanya semata-mata untuk pastikan ‘perut dan poket rakyat’ berada dalam keadaan baik, walaupun situasi kesihatan kita kurang baik.”

Tolong kami wahai YB. Ini masanya untuk kita semua bersatu hati dan saling bantu membantu untuk memulihkan negara. Jika kerajaan dilihat gagal, tolong tegur dan beri solusi. Jika kerajaan sudah buat yang terbaik, tolong sokong dan pastikan ia berjaya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here