SYED Saddiq tiba di mahkamah/Gmbar: NSTP.

 

Oleh Syahir Kassim

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihadapkan di Mahkamah Seksyen hari ini atas tuduhan penyelewengan dana RM1 juta milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tahun lalu.

Beliau turut berdepan tuduhan menyalah guna harta iaitu wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjumlah RM120,000.

Bagaimanapun, Syed Saddiq, 29, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua tuduhan tersebut yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan pertuduhan, beliau didakwa atas kapasitinya sebagai Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diamanahkan dengan dana Armada dan didakwa telah melakukan penyelewengan.

Ahli Parlimen Muar itu dituduh melakukan jenayah pecah amanah dengan membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui satu cek bernombor 000108 tanpa kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Perbuatan itu didakwa berlaku di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, Kuala Lumpur Sentral pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa telah secara curangnya menyalahguna harta iaitu wang sumbangan untuk kempen PRU-14 berjumlah RM120,000 yang dikutip menerusi akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada.

Perbuatan itu didakwa berlaku antara 8 April 2018 sehingga 21 April 2018 di Maybank Islamic Berhad yang beralamat di No 16 & 16A, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur.

Pendakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun atau sebat dan denda, jika didapati bersalah.

Sebelum itu, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah memohon mahkamah mengenakan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut memohon pasport tertuduh diserahkah kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan.

“Kami juga mohon syarat iaitu satu perintah agar tidak mengeluarkan komen yang boleh menjadi subjudis berkenaan kes itu kepada media,” katanya.

Bagaimanapun Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq memohon jumlah jaminan dikurangkan dan membantah syarat-syarat tersebut.

Katanya, jumlah jaminan dan syarat-syarat tersebut tidak munasabah.

Beliau turut memohon agar jaminan itu dibayar secara berperingkat.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah untuk simpanan dan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Mahkamah juga membenarkan permohonan agar jumlah jaminan dibayar secara berperingkat dengan RM50,000 pada hari ini, manakala bakinya selewat-lewatnya pada 27 Julai depan.

Bagi pertuduhan menyalahguna harta, ditetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 10 September depan.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here