KUALA LUMPUR – UiTM Melaka sekali lagi melaksanakan projek Korban di Kemboja pada tahun ini melibatkan kawasan-kawasan kumpulan minoriti muslim di pendalaman Kemboja.
Projek khas sempena Aidiladha anjuran Unit Waqaf, Zakat dan Infaq (El-Wazif), Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) itu merupakan program berbentuk ibadah dan khidmat masyarakat.

Sebanyak 14 ekor lembu berjaya disembelih di beberapa buah kampung yang terpilih seperti kampung Crop Daerah Kebal Lemis Negeri Stong Treng, kampung Kreak Saman Daerah Chelong Negeri Kratie, kampung Rom Chek km23 Tbong khmom, dan kampung Krosah Tmey Daerah Kampong Trolack Negeri Kampong Chhnang.

Pengarah projek Korban Kemboja 2021, Muaz Mohd Noor berkata, aktiviti korban itu adalah sebahagian daripada misi tiga tahun ACIS bersama-sama madrasah angkat di Kemboja, iaitu madrasah Maulana Othman bermula tahun 2019 hingga 2022.

“Pada asalnya kami ingin menangguhkan program ini berikutan negara kita dalam keadaan tertekan akibat kenaikan mendadak kes Covid-19. Namun memikirkan permintaan rakan dan saudara kita di Kemboja, dan permintaan daripada staf kita sendiri, jadi kita meneruskan projek ini dalam skala kecil pada tahun ini.”


Menurut beliau yang juga merupakan Koordinator E-Wazif, penganjur hanya menyediakan platform ini bagi mereka yang berminat serta yang tidak berkemampuan dari sudut kewangan berikutan impak PKP 3.0, namun masih berhasrat menunaikan tuntutan ibadah korban.

“Seperti mana kita tahu, harga pasaran korban di luar negara jauh lebih murah berbanding dalam negara. Jadi kita buka ruang ini supaya mereka juga dapat menunaikan ibadah korban pada tahun ini, dalam masa yang sama dapat membantu saudara muslim kita di Kemboja”, ujar beliau.

Sementara itu, penasihat projek, Prof Madya Dr S. Salahudin Suyurno menyatakan projek ini turut mendapat sokongan daripada rektor UiTM Melaka, sebagai salah satu projek khidmat masyarakat universiti.

“Korban Kemboja ini merupakan program tahunan ACIS bermula 2019 hingga 2022. Namun kita di peringkat universiti dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) tetap meneruskan penganjuran korban pada tahun ini seperti sediakala untuk diagihkan kepada staf-staf kita yang kurang berkemampuan, di ketiga-tiga kampus”.

Sebanyak tujuh ekor lembu berjaya dikorbankan di peringkat UiTM Melaka, yang mana lima ekor daripadanya untuk kampus Alor Gajah, dan seekor masing-masing di kampus Jasin dan Bandar Melaka.

Menurut beliau yang juga merupakan Ketua Pusat Pengajian ACIS, program berbentuk khidmat masyarakat dan pengantarabangsaan ini bertujuan memupuk budaya bantu-membantu sesama muslim serta menyemai semangat berkorban dalam kalangan kakitangan ACIS khususnya.

Tahun lalu, sebanyak 15 ekor lembu berjaya disembelih dan diagihkan dagingnya kepada masyarakat minoriti Islam di Wilayah Kandal, Wilayah Thbong Khmom dan Wilayah Kampung Chhnang selain pusat-pusat tahfiz termasuk di perkampungan sempadan Laos.
Selain daging korban, sumbangan barang-barang keperluan harian turut dihulurkan kepada masyarakat miskin khususnya yang terkesan dengan Covid-19 pada pertengahan tahun yang lalu.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here