PETALING JAYA – Kerajaan berkemungkinan tidak dapat membiayai pakej rangsangan semasa atau pakej lain akan datang berikutan kekangan yang dihadapinya, kata Fitch Solutions.

Agensi penarafan antarabangsa bawah Fitch Group itu menyatakan bahawa Putrajaya telah mengumumkan lima pakej rangsangan pada 2020 dan 2021, bernilai berbilion-bilion.

Menurut data Kementerian Kewangan, tahun lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) melancarkan empat pakej bernilai RM305 bilion dengan suntikan fiskal RM55 bilion. Tahun ini, empat pakej bernilai RM225 bilion dengan suntikan fiskal RM26.8 bilion dilancarkan.

“Bagaimanapun kerajaan Malaysia sudah sampai ke tahap ia tidak lagi mampu membiayai pelan semasa atau pelan baharu pada masa hadapan,” katanya dalam satu laporan prospek pengguna Malaysia.

Laporan itu menyebut, sebarang langkah rangsangan diumumkan Putrajaya dalam tempoh beberapa minggu lagi mungkin tidak begitu besar berbanding yang diumumkan tahun lalu, walaupun pakej rangsangan tahun lalu lebih kecil berbanding negara-negara seperti Singapura dan Hong Kong.

“Beban hutang awam yang tinggi berkemungkinan memberi kesan negatif terhadap sentimen pelabur mengenai Malaysia dan boleh meningkatkan lagi kos pinjamannya.

“Kami menekankan perkara ini sebagai risiko ketara kepada pengguna Malaysia yang mungkin berdepan sekatan selama enam bulan lagi disusuli kehilangan pekerjaan serta potongan gaji,” katanya.

Ia meramalkan pemulihan dalam perbelanjaan pengguna akan berpanjangan sehingga 2022 disebabkan tekanan ekonomi berkaitan kesan Covid-19, sekatan berterusan terhadap sektor peruncitan bukan keperluan, sekatan pergerakan dan ruang fiskal yang terhad untuk pembaharuan semula sokongan.

Fitch Solutions berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) terbaharu dan yang masih berterusan akan menyebabkan peningkatan kadar pengangguran sekali gus menjejaskan prospek pemulihan ke atas permintaan domestik manakala perbelanjaan kerajaan juga tidak menunjukkan sokongan yang bermakna.

Ia juga mengkaji unjuran perbelanjaan isi rumah yang sebenar kepada 3.0% tahun ke tahun pada 2021 berbanding 11% sebelum ini, biarpun ia adalah pemulihan daripada penguncupan 3.7% yang dianggarkan pada 2020.

“Kami juga memerhatikan bahawa sekatan perjalanan antara daerah dan negeri dalam Lembah Klang yang membabitkan sekitar 60% jualan runcit dalam negara ini akan melambatkan pemulihan.

“Bagaimanapun sekatan ini akan terus mempercepatkan pengembangan sektor e-dagang dalam negara.

“Indeks jualan runcit dalam talian yang menunjukkan aktiviti e-dagang akan terus berkembang kepada 23.1% tahun ke tahun.”

Walaupun tekanan inflasi meningkat di seluruh dunia, Fitch Solutions meramalkan inflasi akan kekal sederhana di Malaysia pada paras 1.3% dan 1.9% tahun ke tahun masing-masing pada 2021 dan 2020.

Akhirnya, Fitch Solutions berkata, pemulihan penggunaan negara amat bergantung pada program vaksinasi yang disifatkannya agak perlahan.

“Usaha vaksinasi masih dilihat perlahan biarpun Kementerian Kesihatan sudah memulakan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan sekitar 60% hingga 70% penduduk perlu diberi vaksin bagi mencapai imuniti kelompok.

“Setakat 11 Julai lalu, kira-kira 24.2% rakyat Malaysia sudah menerima satu dos suntikan vaksin,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/22/kerajaan-mungkin-tak-mampu-biaya-pakej-rangsangan-semasa-kata-fitch-solutions/

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here