Oleh Syahir Kassim

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak perlu diletakkan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menambah baik operasi dan tadbir urus institusi tersebut, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

TH sebaliknya kata beliau perlu menukar kepemimpinan ke arah lebih profesional dan pengurusan yang lebih cekap, berwibawa serta bertanggungjawab bagi memastikan kepentingan umat Islam dan institusi tersebut terpelihara.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata, kerajaan juga tidak sepatutnya membenarkan campur tangan orang politik yang berkepentingan dalam urusan institusi tersebut.

“Yang menjadi jahanam institusi ini ialah campur tangan orang politik. Keluarkan orang politik daripada pengurusan TH. Selamatkan wang rakyat.

“TH memiliki rekod yang baik sejak puluhan tahun,” katanya dalam satu kenyataan Facebooknya.

Beliau berkata, cadangan kerajaan meletakkan institusi umat Islam itu di bawah seliaan BNM menggusarkan pihaknya kerana bank pusat mempunyai peranan yang berbeza dengan TH.

Katanya, BNM menguruskan sistem kewangan dan mengambil alih beberapa buah institusi kewangan sekiranya wujud pelanggaran risiko kepada pendeposit.

“Tidak perlu BNM ambil alih tugas TH kerana tugas bank pusat sudah banyak…jangan dibebankan Bank Pusat dengan hal yang mungkin boleh menjejaskan kepentingan umat dan TH,” katanya.

Anwar yang mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca penyelewengan TH berkata, terdapat banyak pihak yang layak untuk menguruskan TH tanpa campur tangan politik.

“Seramai sembilan juta pendeposit dalam bahaya kalau kita serahkan kepada pihak yang ada kepentingan politik.

“Bidang kuasa dan kewibawaan BNM adalah dalam pengurusan kewangan, manakala dalam disiplin aset, ia adalah sebahagian ruang lingkup TH,” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu turut menyentuh pengalaman beliau berhubung pengurusan TH pada tahun 1998.

Katanya, berdasarkan pengalaman beliau, seorang wakil daripada Kementerian Kewangan yang berada dalam Lembaga Pengarah TH sebelum ini memberi impak yang baik kepada institusi itu dalam membuat keputusan.

“Pernah berlaku seorang menteri pada ketika saya menjadi menteri kewangan mengubah satu syarat yang ada kepentingan keluarga dan diluluskan oleh lembaga pengarah tetapi dibantah oleh wakil kementerian kewangan itu.

“Saya dapat laporan dan bersetuju dengan wakil kementerian kewangan itu yang merupakan ketua audit yang menyatakan ada pelanggaran dan percanggahan kepentingan sekiranya diluluskan. Maknanya ia boleh diperbetulkan dengan adanya wakil kementerian dan hubungan yang kuat dalam lembaga pengarah,” katanya.

 

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here