Oleh Wartawan BebasNews

KUALA LUMPUR — Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad diminta menggunakan budi bicaranya melantik segera pemangku Naib Canselor (NC) bagi memastikan fungsi pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjalan lancar.

Persatuan Staf Akademik Universiti Sultan Zainal Abidin (PSA) meminta campur tangan itu ekoran naib canselor universiti itu, Prof Datuk Hassan Basri Awang Mat Dahan ditahan tugas.

Menurut Presiden PSA UniSZA, Berhanundin Abdullah, lanjutan insiden itu menyebabkan urusan pentadbiran dan pengurusan UniSZA tidak dapat dilaksanakan terutama Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) dan Mesyuarat Senat.

“PSA telah menghantar surat kepada Yang Berhormat Menteri dan memohon beliau
melantik mana-mana Timbalan Naib Canselor untuk menjalankan tugas Naib Canselor.

“PSA mencadangkan nama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (TNC A&A) Prof. Dr. Kamarul Shukri Mat Teh, bagi menjalankan tugas dan fungsi Naib Canselor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (22 Julai).

Lembaga Pengarah universiti itu pada 7 Julai bersetuju supaya Prof Hassan Basri ditahan daripada menjalankan tugas sebagai NC UniSZA mulai pada 12 Julai sehingga Jawatankuasa Tatatertib mula bersidang Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2009 (Akta 605).

Menurut Berhanundin, pihaknya juga mencadangkan supaya menteri melantik Datuk Seri Dr. Mazlan Yusof, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi, sebagai Pengerusi Jawatakuasa Siasatan Salah laku dan Tatatertib terhadap Naib Canselor.

Katanya, pihaknya berharap dengan pelantikan itu akan memastikan perjalanan pengurusan universiti berjalan lancar.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here