KONTINJEN Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 1964 yang bergabung dengan Singapura dengan pembawa Jalur Gemilangnya ialah Kuda Ditta (olahraga).

SUKAN Olimpik Ke-32 masih diteruskan di Tokyo, Jepun yang pembukaan rasminya bakal dijalankan di Stadium Olimpik Tokyo, esok?

Kes atlet-atlet negara peserta dijangkiti Covid-19 hampir mencecah 100 orang dan kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo (Togoc), Toshiro Muto membayangkan kemungkinan membatalkannya pada saat akhir.

Tradisi perarakan beramai-ramai pengenalan kontinjen negara-negara peserta masih berada dalam agenda pembukaan rasmi Olimpik.

Namun difahamkan terdapat prosedur operasi standard (SOP) khas yang dikenakan Togoc sebagai langkah pencegahan ketat dalam membendung penularan dalam kalangan para atlet dan pegawai.

Kontinjen Malaysia dengan 30 atlet dan 27 pegawai dan petugas sokongan bakal hadir tanpa Ketua atau Chef de Missionnya, Datuk Lee Chong Wei yang dinasihatkan doktor agar tidak keluar negara atas sebab kesihatan.

Seperti temasya-temasya terdahulu sejak Melbourne 1956, ramai peminat juga pasti tertanya-tanya apakah busana kontinjen negara yang dikenakan dalam perarakan perasmian Olimpik kali ini?

“Menteri Belia dan Sukan yang memilih pakaian itu. Ada unsur tradisional,” kata satu sumber Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

SYAQIERA MASHAYIKH

Cabaran sulung Malaysia pada Olimpik Tokyo yang julung kalinya memasuki tahun ganjil ini akan digalas oleh Syaqiera Mashayikh dalam acara recurve individu memanah wanita di Lapang Memanah Taman Yumenoshima pada pukul 10 pagi waktu Malaysia esok.

Langkahnya dalam peringkat pusingan penentuan ranking itu akan disusuli Khairul Anuar Mohamad yang terpaksa menarik diri daripada peranan pembawa Jalur Gemilang dalam perarakan untuk berentap juga dalam recurve individu (lelaki) kira-kira empat jam kemudian.

Khairul, 30, yang berpengalaman Olimpik London 2012 dan Rio 2016, tampak berpeluang cerah mencipta kejutan untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir.

Dia hadir dengan reputasi pemenang pingat perak recurve Kejohanan Dunia 2019 di Hertogenbosch selain menduduki ranking ke-15 dunia manakala pencapaian terbaik Olimpiknya ialah keenam di London.

KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

Hari berikutnya, Sabtu 24 Julai ialah aksi sukan prospek pingat Malaysia yang paling ditunggu-tunggu para peminat di tanah air – badminton.

Juara perseorangan lelaki Seluruh England 2021, Lee Zii Jia akan membuka tirai saingan Kumpulan M di Plaza Sukan Musashino dengan menentang sama ada Brice Leverdez dari Perancis atau Artem Pochtarov (Ukraine) pada pukul 10 pagi.

Turut beraksi ialah pemenang pingat perak beregu campuran Rio 2016, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang menghadapi pasangan Hong Kong, Tang Chun Man/Tse Ying Suet dalam Kumpulan D (8.20 malam).

Tiga lagi wakil negara ialah beregu wanita, Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean (Kumpulan A), Soniia Cheah (Kumpulan N, perseorangan wanita) – kedua-duanya 10 pagi Sabtu dan Aaron Chia/Soh Wooi Yik (beregu lelaki, Kumpulan D), 7 malam.

Di kolam renang Pusat Akuatik Tokyo, Welson Sim pula akan beraksi dalam peringkat saringan acara 400 meter gaya bebas lelaki, pukul 8.48 malam juga Sabtu.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here