Oleh Prof Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff
(Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah)

KESEDARAN masyarakat tentang gejala rasuah yang merosakkan negara sekarang ini cukup tinggi.

Perhatian masyarakat supaya kes rasuah disiasat dengan adil dan mengikut undang-undang secara betul adalah cabaran besar yang saya pikul sejak dilantik menjadi Ahli Panel Penilai Operasi SPRM untuk tempoh 2018-2020, dan pada tahun 2020-2023 pula telah dilantik pula oleh baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menjadi Ahli Lembaga SPRM.

Semasa menerima pelantikan ini, azam saya adalah untuk menjalankan tanggungjawab ini dengan dengan adil dan saksama.

Sebarang perkara yang di luar dari tindakan yang telus dan betul semestinya akan saya tegur sesuai dengan janji saya untuk melaksanakan amanah ini dengan baik.

Saya telah banyak kali membaca komen dan pandangan yang mendakwa SPRM telah menjadi alat politik.

Saya tidak terlibat dan tidak mengetahui tentang operasi SPRM, tetapi saya tahu tentang keputusan SPRM berkaitan dengan kes berprofil tinggi yang dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga.

Satu yang pasti dalam mesyuarat Lembaga, kami (seramai enam orang) bertindak tanpa rasa takut dan bimbang serta berbincang kes-kes secara telus.

Dalam banyak keadaan kami menegur dan memberi cadangan kepada SPRM untuk menyiasat lanjut dan memperbaiki beberapa kelemahan penyiasatan, jika ada, supaya kes yang disiasat telus dapat memberi keadilan kepada yang didakwa dan juga kerajaan.

Sepanjang pengalaman, saya dapati Lembaga telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik tanpa prasangka dan prejudis buruk kepada sesiapa.

Dalam kes penangkapan YB Syed Saddiq hari ini, saya membaca terdapat tohmahan bahawa adanya konspirasi politik dalam penyiasatan dan pertuduhan ke atas YB Syed Saddiq.

Saya ingin menjelaskan perkara berikut. Sebagai ahli Lembaga SPRM, saya yakin SPRM sebagai sebuah badan bebas telah membuat penyiasatan berasaskan fakta dan maklumat yang sahih.

Mengenai pendakwaan yang dibuat terhadap YB Syed Saddiq, itu bukanlah tugas SPRM kerana tugas SPRM hanya terbatas kepada penyiasatan, manakala pendakwaan pula terletak di tangan Pejabat Peguam Negara, berdasarkan kepada kertas siasatan yang diberikan oleh SPRM kepada Pejabat peguam negara. Itulah pengasingan kuasa yang negara kita amalkan.

Sekarang ini, justeru kes ini telah dibawa ke mahkamah, biarlah pengadilannya dilakukan oleh mahkamah.

Mahkamah akan menentukan dan membuat keputusan berdasarkan bukti yang dikemukakan. Jika mahkamah dapati tidak bersalah, maka akan dibebaskan dan begitulah sebaliknya.

Saya membuat kenyataan ini untuk memberi keadilan kepada tugas yang saya pegang sekarang.

Saya rasa malu SPRM dituduh sebagai alat kerajaan untuk menghentam dan mengugut pembangkang dan tindakan SPRM ini adalah konspirasi politik kerana saya adalah ahli Lembaga bersama dengan lima yang lain telah terpaksa berkorban banyak masa untuk meneliti banyak kes rasuah yang berleluasa sekarang.

Saya boleh berikan kepastian berikut. Siasatan yang dijalankan oleh SPRM adalah profesional berdasarkan bukti-bukti yang ada dan tidak pernah berpandukan kepada fitnah atau tohmahan semata-mata.

Oleh itu, harapnya kita menghormati fungsi SPRM sebagai sebuah badan bebas dalam mengendalikan kes-kes rasuah.

Dalam kes pertuduhan terhadap YB Syed Saddiq hari ini, saya fikir ini adalah peluang untuk beliau membersihkan dirinya daripada tohmahan berkaitan isu ini.

Sistem kehakiman kita memberi peluang kepada beliau untuk membela diri dan membersihkan namanya di mahkamah. Tertuduh harus berpegang pada prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’.

Akhirnya, saya ingin menegaskan sekiranya saya dapati SPRM bertindak di luar fungsinya dan berkonspirasi dengan mana-mana pihak untuk bertindak tidak adil terhadap sesiapa, saya akan segera meletakkan jawatan. Tetapi seperti kes yang dibincangkan oleh Lembaga, saya yakin Lembaga telah menjalankan tugas memikul amanah negara ini dengan baik.

Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang semakin prihatin terhadap gejala rasuah yang merosakkan negara ini. Mari kita sama-sama membanterasnya.

Sekian, terima kasih.

(Nota Editor: Tulisan itu adalah kenyataan akhbar beliau)

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here