RASHID Sibir bersama produk keluarannya Pes Asam Pedas Pondok Buruk, Masak Lomak Cili Api Daging Salai, Acar Ikan Talang dan Dendeng Daging.

 

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

PERIBAHASA Melayu ada berkata ‘Patah Sayap bertongkat paruh’ dan bersandarkan itulah pengarah prolifik, Rashid Sibir antara karyawan seni yang terkesan kerana pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu bangun dari keperitan dan berusaha demi kelangsungan hidup bersama isteri dan empat orang anak mereka.

Bohonglah jika ada yang berkata Rashid Sibir selaku Pengarah dan pemilik syarikat penerbitan Opera Klasik yang sebelum ini dikatakan sentiasa sibuk di belakang tabir tidak terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ‘total lockdown’ dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD)!

Ironinya bukan sahaja Rashid Sibir, malah ramai lagi yang terkesan kerana sekian lama tidak bekerja dan andainya Gunung Kinabalu pun kalau ditarah setiap hari akan rata inikan pula duit simpanan yang semakin menyusut dengan pelbagai bil yang harus dibayar.

KAFE Operas Klasik yang mula beroperasi pada tahun 2017 dan terletak di Pekan Rawang kini terpaksa ditutup sejak pandemik Covid-19, Mac tahun 2020.

“Saya sedar sebagai ketua keluarga saya tidak boleh duduk diam menunggu rezeki jatuh dari langit kerana saya ada isteri dan anak-anak yang masih kecil. Walaupun kadangkala apa yang berlaku ini membuatkan saya terkesan tetapi memikirkan isteri dan empat orang anak, saya kena kuat.

“Bohonglah kalau kata saya okey. Memang saya adalah seorang yang berjimat dan menyimpan untuk masa depan keluarga tetapi kalau dah lebih setahun saya lebih banyak duduk di rumah berbanding di set penggambaran saya berjanji pada diri sendiri untuk terus berjuang demi keluarga walau dalam apa cara sekalipun,” kata Rashid Sibir.

Sepanjang PKP 1.0 bermula 18 Mac 2020 sehingga PKPK 3.0 dan kini kerajaan melaksanakan PKPD, Rashid Sibir hanya sempat mengarah drama “Bidadari Kiriman Tuhan, Aku Bukan Malaikat, Bila Syaitan Berbisik, Telemovie Tanah Kubur, Ayat Dari Langit dan Diva Popular.”

Produk keluaran Pondok Buruk.

Menurut Rashid Sibir, terkesan dari pandemik Covid-19, beliau berazam untuk memulakan sesuatu demi kelangsungan hidup keluarganya.

Tetapi beliau bukanlah seorang yang main tangkap muat, sebaliknya sebelum melakukan sesuatu beliau membuat ‘homework’ sendiri dengan melayari sosial media melihat gaya hidup masyarakat hari ini.

SATU babak daripada drama “Pondok Buruk” lakonan Allahyarham Ismail Din dan Fauziah Nawi.

“Saya dapati gaya hidup masyarakat hari ini yang kebanyakan bekerja dari rumah, mereka lebih suka membuat tempahan makanan secara dalam talian dan ada juga yang memasak sendiri untuk berjimat.

“Bagi memudahkan tugas pejabat dari rumah tanpa mengabaikan keluarga mereka suka memasak sendiri dengan pes yang sedia ada sebab cepat dan mudah. Bagaimanapun yang penting mesti sedap,” kata Rashid Sibir.

Menyedari itulah Pes Asam Pedas Pondok Buruk yang mula dihasilkan oleh Rashid Sibir pada tahun 2017, kini memperbanyakkan produk berkenaan untuk mereka yang mementingkan kualiti dan mempunyai banyak pilihan.

KELUARGA bahagia…Rashid Sibir bersama isteri, Nurulhuda Azizi dan empat orang anak mereka.

Menurut Rashid Sibir, beliau mula memperkenalkan Pes Asam Pedas ketika Cafe Opera Klasik mula beroperasi pada tahun 2017 di Rawang. Pes Asam Pedas itu digunakan untuk memasak semua jenis ikan seperti ikan pari, jenahak, telur ikan duri, ikan kembung, ikan merah, ketam, udang dan daging tetel.

Ketika itu, katanya, selain memasak mengikut ‘order’ dari pelanggan yang datang beliau menjual pes itu melalui dalam talian.

Menyedari Pes Asam Pedas Pondok Buruk mendapat sambutan, bermula PKP 2.0, Rashid Sibir bersama beberapa rakan kongsi mempelbagaikan produknya dengan menghasilkan Jus MAG extra power untuk kesihatan, Masak Lemak Cili Api Daging Salai, Daging Dendeng dan Acar Ikan Talang yang hanya perlu dipanaskan untuk dimakan dan yang penting sedap!

Apabila ditanya resipi untuk kesemua produk yang dihasilkan Pondok Buruk, Rashid Sibir memberitahu;

“Pes Asam Pedas adalah resipi isteri saya, Nurulhuda Azizi. Sementara yang lain adalah kolaborasi dengan kawan-kawan yang berminat dalam bidang makanan. Dalam bisnes ini saya bersama empat rakan berkongsi modal, idea serta minat dan kami sama-sama memasarkannya.

“Produk Pondok Buruk ini disediakan oleh rakan kongsi di Rawang, Negeri Sembilan, Penang dan Kedah. Walaupun ianya disiapkan di tempat berlainan tetapi kami sentiasa menjaga kualiti kerana itulah keutamaan dan prinsip kami. Insyaa-Allah tidak lama lagi kami akan menghasilkan Pes Nasi Dagang Ikan Tongkol dan Sambal Tumis Ikan Bilis Petai,” kata Rashid Sibir.

Menurut Rashid Sibir, selain menghasilkan Pes Pondok Buruk untuk memudahkan mereka yang bekerja dari rumah, ia juga dihasilkan untuk mereka yang suka melancong dan bercamping dalam hutan dan yakin apabila pandemik ini berakhir perniagaan ini akan masih boleh diteruskan.

Apabila ditanya apakah beliau menghasilkan pes berkenaan sebagai satu ‘escapism’ kerana tidak boleh berkarya atau tuntutan hidup, dengan tenang Rashid memberitahu;

“Dalam hidup ini kita tidak mungkin boleh melakukan sesuatu kerja untuk tempuh yang lama. Saya sedar tidak selamanya saya akan mengarah dari itu saya harus sediakan payung sebelum hujan kerana langit tidak selalu cerah.

“Menyedari itulah sejak 2017, saya sudah memikirkan sumber pendapatan daripada bidang lain demi masa depan. Ia bukan sahaja membantu isteri mencari pendapatan sendiri malah keluarga kerana saya yakin perniagaan makanan juga boleh berkembang sampai ke luar negara.”

Rashid Sibir memulakan perniagaan makanan pada tahun 2017 dengan membuka Cafe Opera Klasik di Pekan Rawang. Kebanyakan pelanggannya adalah penduduk setempat ataupun para peminat drama “Pondok Buruk” yang datang dari Kuala Lumpur, Kelang, Johor, Pahang dan Kelantan semata-mata mahu menikmati Asam Pedas dan Roti Jala Serawa Durian yang merupakan ‘signature’ cafe berkenaan.

Ketika ditanya kepuasan yang diperolehi ketika melayan para pelanggannya dengan menghidangkan masakan yang sedap-sedap dan sewaktu menjalankan tugasnya sebagai pengarah, beliau yang terdiam seketika dengan tenang menjawab;

“Rasa puas ketika menghasilkan karya untuk tontonan masyarakat dengan rasa puas apabila melihat pelanggan menikmati kesedapan masakan kita, tidak sama. Seni lain makanan lain. Bagaimanapun saya memang seronok kerana dapat memudahkan orang ramai yang semakin sibuk dengan hidangan masakan dan pes kami yang rasanya seperti masakan emak kita.”

Menyentuh pes keluarannya yang diberi nama Pondok Buruk, Rashid Sibir memberitahu;

“Pondok Buruk adalah telemovie pertama arahan saya. Ia mencatatkan sejarah dan kenangan manis dalam kerjaya saya apabila telemovie berkenaan mendapat sambutan hebat daripada para penonton. Bersandarkan itu, produk pertama saya mengabadikan nama itu.”

Bagi para penggemar produk Pondok Buruk seperti Pes Asam Pedas, Masak Lomak Cili Api Daging Salai, Acar Ikan Talang dan Daging Dendeng, semua ini anda boleh dapati di Rosyam Mart di Setiawangsa dan Shah Alam.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here