MISBUN Sidek (depan, kiri) dan Latifah Sidek (depan, kanan) bersama keluarga tersayang. - Foto FB Misbun

ISTERI kepada bekas jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek meninggal dunia kira-kira pukul 8.15 malam ini.

Allahyarham Datin Latifah Sidek menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 58 tahun.

Pada 13 Julai lalu, media tempatan melaporkan beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana disahkan positif Covid-19.

Laman Facebook rasmi Majlis Sukan Negara (MSN) melaporkan berita sedih itu: “Dukacitanya dimaklumkan Datin Latifah, isteri kepada Datuk Misbun telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

“Sama-sama kita panjatkan doa dan sedekahkan al-Fatihah buat arwah. Semoga ditempatkan bersama-sama mereka yang disayangi-Nya jua.

“Takziah buat Misbun dan keluarga,” lapor laman itu.

Misbun, 61, juga ialah Pengarah Teknikal skuad remaja negara Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dia juga pernah menjadi jurulatih Datuk Lee Chong Wei memenangi pingat perak perseorangan Sukan Olimpik Beijing 2008 manakala kejayaan terbesarnya sebagai pemain ialah naib juara Piala Dunia 1982, Seluruh England 1986 serta Piala Thomas 1988.

Dia berkahwin dengan Latifah pada 1987. Mereka turut berkongsi nama ayah dan tarikh lahir, 17 Februari.

Mereka dikurniakan enam anak dengan dua daripadanya mengikut jejak Misbun sebagai pemain badminton iaitu Misbun Syawal Misbun dan Misbun Ramdan.

Laporan media 13 Julai lalu memetik kenyataan pegawai khas Misbun, Nor Kamal Ahmad berkata, “Latifah mungkin dijangkiti Covid disebabkan selalu berulang-alik dua hari sekali ke HKL untuk menjalani pemeriksaan buah pinggang.
“Terdapat kes pesakit lain yang positif Covid-19 di situ. Selepas melakukan pemeriksaan di sebuah hospital swasta, (Latifah) disahkan positif. Dia berada di HKL sejak 10 Julai lalu,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here