Oleh Khadijah Ibrahim

PELAKON veteran Datuk Baharuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Anjang Aki, 85, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Shah Alam, kira-kira pukul 6.30 petang, 24 Julai 2021.

Berita sedih itu disahkan menerusi kiriman WhatsApp oleh ahli keluarga terdekat bagi pihak Datin Nazariah Abu Bakar atau Ateh. Malah pelakon Fauziah Ahmad Daud turut memuat naik khabar sedih itu di Facebook.

Pemergian Anjang Aki menghadap Illahi bukan disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang semakin mengganas di tanah air tapi kerana arwah menghidap penyakit pembuluh darah bengkak.

Berdasarkan temu bual Nazariah, 66, dengan sebuah akhbar, beliau memberitahu yang suaminya meninggal dunia selepas selesai menikmati hidangan.

“Sebaik selesai makan, arwah masuk bilik untuk berehat. Saya pula ke dapur dan kemudian saya dapati arwah sesak nafas sebaik menjenguknya dalam bilik.

“Selepas itu, arwah langsung tidak sedarkan diri. Saya dan dua anak berada di sisinya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.

“Alhamdulillah, arwah pergi dengan mudah. Saya kemudiannya menghubungi anak-anak lain memaklumkan berita pemergian arwah,” katanya.

Allahyarham Anjang Aki meninggalkan tujuh cahaya mata dan dua anak tiri. Jenazahnya dijangka akan dikebumikan di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply