Foto Utusan Malaysia
Oleh Muhd. Nur Iman Ramli

SEPERTINYA sudah tiada peristiwa penting di negara ini yang melibatkan golongan pemimpin muda. Melainkan peristiwa YB Syed Sadiq Syed Abdul Rahman dilantik sebagai menteri termuda, generasi muda seolah tiada tempat istimewa dalam sejarah dan politik Malaysia.

Kesenjangan generasi dalam politik Malaysia hari ini mula terasa apabila kumpulan ahli politik berumur dilihat sudah tidak mampu menyantuni aspirasi generasi muda. Golongan pemimpin lama berhasrat mewariskan pusaka perjuangan kepada pemimpin muda, sehingga pemuda terpaksa berakomodasi dengan semua pusaka yang ada, sama ada yang baik atau sebaliknya.

Kemurungan politik negara hari ini memerlukan campur tangan golongan pemimpin muda. Persoalannya, bagaimana mereka menempatkan diri dalam pekupan politik tradisional yang didominasi oleh kelompok pemimpin generasi ‘boomer’? Sejak era 80an, Malaysia diterajui wajah-wajah sama dan tiada tanda-tanda mereka mahu berundur. Mantera lama mengatakan ‘pemuda adalah harapan masa depan negara’ begitu dipatuhi generasi muda.

Romantisasi ini mencadangkan seolah tanggungjawab mentadbir negara itu begitu berat, sehingga ia perlu digalas orang tua terlebih dahulu. Orang muda tunggu dulu, perlu lebih latihan (atau kawalan) supaya tidak lari dari aspirasi orang lama. Sampai bila ‘harapan’ itu harus dipanjangkan, dan bagaimana kalau ‘masa depan’ itu adalah sekarang?

Maka para pemimpin muda yang sudah berada di arenanya, sama ada dalam parti-parti politik dan gerakan NGO perlu berpakat dan reaktif memikirkan jalan keluar dari kemurungan politik tadi.

Apalah risikonya kepada negara sekiranya golongan muda diberi peluang memimpin sekarang, sedangkan mereka jugalah yang akan mewarisi negara ini nanti. Kita sudah ambil pelbagai risiko sebelum ini, dan lihatlah bagaimana keadaan kita di Malaysia sekarang.

Golongan pemimpin lama mungkin tidak perasan adanya ‘zeitgeist’ (sebut ‘zaitgaist’, bermaksud semangat zaman) yang membentuk ciri-ciri setiap generasi. Golongan muda, yakni pemilik kepada era ini semestinya punya formula tersendiri untuk memakmurkan negara, lebih-lebih lagi dalam era pandemik global.

Persepsi bahawa orang muda tiada pengalaman memimpin sangat patut ditinggalkan. Pemimpin lama dahulu pun diberi laluan untuk mentadir negara, maka begitulah seharusnya laluan diberi kepada generasi muda.

Mana kita tahu mereka tidak mampu mentadbir negara, sedangkan peluang belum pun diberi selayaknya kepada mereka. Tenaga mereka kuat, idea mereka kreatif dan bernas. Mereka mahir menggunakan teknologi untuk mengumpul pengikut. Ini adalah sejumlah kualiti yang sangat penting dan selari dengan ‘zeitgeist’ era ini.

Kabilah-kabilah Arab era Jahiliyyah suatu masa dahulu penat berperang sesama sendiri, lalu mencari formula perubahan melalui keperibadian pemimpin muda mulia bernama Muhammad Bin Abdullah. Akhirnya bangsa Arab yang sebelum itu hanyalah jaguh kampung, berubah menjadi bangsa penguasa dunia. Rasulullah (SAW) diangkat menjadi nabi dan pemimpin kaum Muslimin pada umur 40 tahun.

Para pengganti Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar, Umar dan Ali (RA) dilantik sebagai khalifah pada usia 50an. Hanya Khalifah Uthman Bin Affan (RA) yang menjadi khalifah pada usia 68 tahun. Disebabkan faktor usia dan peribadi lembutnya, beliau dikatakan tidak berdaya mengawal huru-hara pada zamannya. Pada usia 80 tahun, Khalifah Uthman dibunuh kejam oleh kumpulan pemberontak.

Pada pertengahan kurun ke-8 Masihi, Khalifah al-Mansur menjadi pengasas kerajaan Abbasiyyah di Baghdad pada usia 40 tahun, manakala Abdul Rahman I ‘al-Dakhil’ mengambil alih pemerintahan Andalusia di Sepanyol pada usia 25 tahun. Sultan Turki Uthmaiyyah, Mehmet II pula berumur 21 tahun ketika menakluk Kota Constantinople (1453). Daya kepimpinan mereka membuahkan sumbangan besar kepada ketamadunan Islam dan dunia.

Di peringkat antarabangsa, tiga orang presiden Amerika Syarikat paling berpengaruh juga dilantik ke jawatan tersebut pada usia muda, iaitu John F. Kennedy (43), Bill Clinton (46) dan Barack Hussein Obama (47). Di seberang Tambak Johor, Lee Kuan Yew menjadi perdana menteri pertama dan pengasas Singapura pada usia 40. New Zealand memilih Jacinda Adern (37) sebagai perdana menteri, manakala Perancis memilih Emmanuel Macron (39) sebagai presiden.

Berkaitan usia perdana menteri Malaysia semasa lantikan, Tun Abdul Razak Hussein adalah PM paling muda (48), diikuti Tun Hussein Onn (54), Tun Mahathir Mohammad dan Datuk Seri Najib Tun Razak (56), Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj (60), Tun Abdullah Ahmad Badawi (64) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (73). Paling menarik apabila Tun Mahathir dilantik kali kedua sebagai PM pada usia 93 tahun.

Setiap pakatan politik di Malaysia perlu mula mengetengahkan barisan calon pemimpin muda yang lebih segar, berpengaruh, matang dan sopan, yang berkerja keras menyantuni rakyat majmuk, serta serius memikirkan soal membangunkan negara. Rakyat Malaysia perlu memahami keperluan melangkaui isu hierarki, dengan mengutamakan kualiti berbanding senioriti. Covid-19 tidak kunjung reda, dan ini menuntut kepimpinan muda yang jujur, kreatif dan berani mengambil risiko.

Kita ada nama-nama besar pemimpin muda yang selayaknya diberi peluang. Sekadar menyebut beberapa nama, antaranya Khairy Jamaluddin, Nurul Izzah Anwar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Shahril Hamdan, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Dr. Maszlee Malik dan Rafizi Ramli. Tidak boleh diketepikan juga bakat dan pengalaman para pemimpin NGO belia seperti Jufitri Joha (presiden MBM) dan Muhammad Faisal Abdul Aziz (presiden ABIM). Malaysia tidak ketandusan stok pemimpin muda.

Pergelutan politik semasa yang berpanjangan, dan zeitgeist zaman ini sedang bergerak menuntut penerimaan terhadap golongan muda sebagai pemimpin bagi menggalas pelbagai tanggungjawab besar seperti memegang jawatan tertinggi dalam parti-parti politik, jabatan kerajaan dan kementerian, bahkan kerusi perdana menteri. Sistem politik tradisional tidak bersedia menerima gerakan sebegini.

– BebasNews

Nur Iman Ramli

Muhd. Nur Iman Ramli merupakan Eksekutif Persidangan, IAIS Malaysia

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here