Red Curry
Photo by emy on Unsplash
Oleh Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli

MAKANAN merupakan keperluan asasi bagi manusia. Manusia tidak dapat hidup tanpa makan. Mengambil makanan juga adalah sebagai satu aktiviti bagi memenuhi fitrah rasa lapar.

Tanpa mendapat sumber makanan dan zat yang mencukupi, manusia akan mengalami masalah berat badan, kekurangan nutrisi, tumbesaran terbantut malah lebih parah lagi boleh menyebabkan mati kebuluran.

Begitu juga dengan pengambilan makanan yang tidak seimbang dan berlebihan, ia boleh menyebabkan berlakunya gejala obesiti dan risiko penyakit berbahaya kepada manusia tanpa mengira lapisan usia.

Dalam musim pandemik COVID-19 ini, kedua-dua risiko sama ada kekurangan atau berlebihan makanan berpotensi dihadapi oleh manusia. Ini disebabkan dalam keadaan terkurung, kemungkinan akan ada mereka yang terputus bekalan makanan dan berada dalam keadaan yang lapar.

Jika ada makanan sekalipun, kemungkinan ia tidak berkhasiat dan perlu dicatu kerana kekangan kewangan. Walau tidak berkhasiat, ia dapat menahan diri dari rasa lapar.

Sedangkan dalam keadaan berlebihan makanan, risiko obesiti boleh berlaku kerana makanan berlebihan kalori telah diambil tetapi ia tidak terbakar dengan baik kerana kurangnya pergerakan akibat terkurung di rumah. Lemak yang makin terkumpul dari hari ke hari akan menyebabkan kegemukan dan boleh mendedahkan diri manusia kepada risiko penyakit.

Selain itu, bagi umat Islam, dalam pengambilan makanan terdapat panduan yang jelas khususnya berkaitan dengan prinsip halalan tayyiban. Ini kerana makanan yang halal lagi tayyib dapat membentuk fizikal yang kuat dan akal yang sihat, malah dapat memantapkan aspek spiritual. Dalam hal ini, perintah Allah telah ditujukan kepada seluruh umat manusia agar mengambil makanan halal lagi baik.

Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 168: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

Malah dalam pernyataan berkaitan dengan halal, terdapat hadis Nabi SAW yang menyebut: “Yang halal itu ialah sesuatu yang dihalalkan Allah SWT di dalam Kitab-Nya dan yang haram itu sesuatu yang diharamkan Allah SWT di dalam Kitab-Nya. Dan mana-mana yang didiamkan-Nya sahaja, maka ianya termasuk apa yang dimaafkan buat kamu.” (Riwayat al-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Namun begitu, dalam situasi yang darurat terdapat ruang keharusan yang diberikan tetapi dalam kadar yang terbatas bagi mencegah kemudaratan berlaku. Umpamanya, keharusan mengambil makanan yang diharamkan pada situasi kebuluran dan tiada alternatif makanan halal yang lain.

Dalam hal ini, Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 173: Maka sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidak ada dosa atasnya.

Oleh yang demikian, ayat tersebut menjelaskan bahawa tidak berdosa untuk mengambil makanan yang diharamkan ketika dalam keadaan darurat. Namun begitu kelonggaran ini tidak bersifat mutlak dan hanya untuk menyelamatkan nyawa sahaja.

Walaupun terdapat panduan yang jelas dalam Islam, realitinya, dalam produk makanan pada masa kini terdapat pelbagai ancaman berkaitan status halalan tayyiban. Ia melibatkan berbagai bentuk tindakan pencemaran dalam rantaian makanan, sama ada yang disengajakan dan tidak disengajakan.

Tindakan pencemaran yang disengajakan termasuklah pencemaran yang berorientasikan jenayah. Ia bermotifkan keuntungan dan mendatangkan kemudaratan kepada kepada manusia dalam jangka masa pendek dan panjang, dan turut memberi kesan terhadap kesihatan tubuh badan, akal, keselamatan nyawa dan spiritual.

Dalam pasaran, terdapat beberapa kes jenayah makanan yang melibatkan pencemaran yang disengajakan. Umpamanya, seperti penggantian daging yang halal dengan daging yang diharamkan, penjualan daging yang dijangkiti penyakit, penipuan logo dan sijil halal, pelabelan kandungan makanan yang tidak tepat, pemalsuan minyak zaitun, madu dan rempah ratus.

Begitu juga dengan penggunaan bahan kimia yang berbahaya sebagai pengawet seperti formalin dan aniline untuk memberi ketahanan kepada daging dan hasil laut dari membusuk. Malahan lalat dan serangga pun tidak dapat hinggap menghampiri apatah lagi menyentuh bahan makanan tersebut.

Pengambilan bahan berbahaya secara konsisten tanpa disedari ini dapat memberi kesan negatif kepada manusia dari sudut kesihatan seperti kerosakan jantung, hati, otak, limpa, pankreas, sistem saraf pusat dan ginjal di samping bahan-bahan kimia ini juga boleh menyumbang kepada peningkatan kes kanser.

Jelasnya, terdapat pelbagai bentuk jenayah dan kecurangan yang melibatkan makanan di pasaran yang dilakukan oleh peniaga dalam mengaut keuntungan tanpa memikirkan keselamatan dan dampak negatif kepada fizikal dan spiritual manusia.

Sedangkan Islam dengan tegas telah mengharamkan penipuan dalam jual beli, mengharamkan jual beli bahan yang memudaratkan manusia dan mengharamkan sebarang pengambilan makanan yang boleh memudaratkan atau membahayakan tubuh dan mengancam nyawa manusia.

Tuntasnya, mencari yang halal adalah tuntutan agama bagi tiap umat Islam. Ini kerana makanan yang halal lagi baik (tayyib) adalah selamat bagi manusia, sebaliknya makanan yang haram lagi buruk (khabith) boleh mendatangkan kesan negatif terhadap manusia.

Justeru berhati-hatilah dalam pemilihan makanan yang terdapat pasaran walaupun di musim pandemik. Utamakan yang halal, tayyib, berkualiti, berkhasiat, bersih dan selamat di samping memilih yang segar dan sedap.

Ini disebabkan dalam keadaan tidak sedar, kita terdedah kepada pengambilan makanan yang boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan fizikal, akal dan spiritual.

 

Mohd Anuar Ramli

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli berkhidmat di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Emel: mohdanuar@um.edu.my.

Rencana ini adalah sebahagian daripada hasil geran penyelidikan FRGS-FP007-2018A

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here