Oleh Ruhanie Ahmad

JABATAN Perangkaan Malaysia menganggarkan penduduk Peribumi – Melayu, Muslim, Orang Asal dan pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak – pada tahun 2021 adalah 69.8 peratus daripada keseluruhan 30.0 juta warganegara Malaysia.

Ini berbanding 22.4 peratus warganegara Malaysia keturunan Cina, 6.8 peratus warganegara keturunan India dan satu peratus sahaja warganegara lain-lain keturunan bukan Peribumi.

Ini bermakna bahawa Peribumi adalah kelompok warganegara terbesar di Malaysia, berbanding lain-lainnya. Kedudukan ini kian meningkat dari setahun ke setahun sejak zaman 70-an.

Namun, Peribumi adalah warganegara paling rendah pencapaian ekonominya, dan paling kecil jumlah anggota profesionalnya sejak era penjajahan Inggeris. Peribumi juga warganegara yang paling berpecah-belah wadah politiknya.

Lantas, kenapakah ekonomi warganegara dari sektor yang 22.4 peratus dan 6.8 peratus kelihatan lebih tinggi? Kenapakah perpaduan politik mereka kelihatan lebih mantap dan jitu?

Adakah kerana Peribumi Malaysia mutakhir ini terlalu leka, hilang jati diri, dan terhakis semangat kebangsaannya? Mungkinkah ramai anak Peribumi Malaysia terlalu khayal akibat dadah dan hanyut dalam dunia glamour yang menjurus ke arah alam keseronokan tanpa batas?

Peribumi mesti insaf dan bangkit untuk merungkai, menuntas dan merincikan persoalan ini. Mereka mesti selidik untuk mendapatkan penyelesaiannya dengan segera.

Cuba kaji, apakah peranan pelbagai konsep universal seperti hak asasi manusia, kesamarataan sejagat, kebebasan bersuara dan pendemokrasian segala aspek kehidupan, dalam konteks Peribumi Malaysia yang sedang dipecah-belahkan pihak ketiga.

Adakah benar, konsep-konsep ini diantarabangsakan oleh pihak neoimperialis untuk memecah-belahkan masyarakat Peribumi di negara membangun, termasuk di Malaysia?

Siapakah kelompok majoriti yang menjadi perkakas asing untuk mendukung konsep-konsep ini di Malaysia, dan untuk mempengaruhi anak Peribumi supaya terpesona dengannya?

Sedarkah Peribumi, konsep-konsep ini diperjuangkan untuk menghakis semangat kebangsaan kita supaya Peribumi lebih pecah-belah dan jemaah perjuangannya semakin layu?

Sedarkah Peribumi, para pejuang konsep-konsep ini dipercayai menerima biayai luar yang bertungkus-lumus menjadikan Malaysia negara bonekanya di Asia Tenggara, dan untuk menonjolkan pemimpin Peribumi yang terpengaruh dengan konsep-konsep ini menjadi kuda tunggangan mereka?

Insafkah kita, berapa ramai anak Peribumi Malaysia yang kini ghairah mendukung konsep-konsep tersebut dan berjaya di heret keluar dari jemaah besar perjuangan Peribumi itu sendiri?

Waspadakah Peribumi, kenapa UMNO dan Bersatu dituduh sebagai rasis dan PAS dilabelkan sebagai ekstremis agama? Bukankah label ini sengaja dicipta supaya Peribumi Malaysia jadi lebih kucar-kacir dan tunduk kepada puak yang kononnya liberal?

Kenapakah hanya UMNO, Bersatu dan PAS sahaja yang dituduh sebagai parti politik perkauman di Malaysia? Bukankah ini direka-reka supaya Peribumi yang besar peratusannya dimusuhi oleh pihak lain?

Bukankah ini juga muslihat supaya masyarakat antarabangsa turut memusuhi Peribumi Malaysia kononnya sebagai kumpulan kolot dan penentang konsep-konsep sejagat di atas?

Sedarkah Peribumi, kenapakah Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) atau Internal Security Act (ISA) di Malaysia sahaja yang dilabelkan sebagai undang-undang menindas?

Kenapakah Amerika Syarikat (AS) pernah turut serta untuk memansuhkan ISA di Malaysia dalam dekad akhir kurun 20? Kenapa, Singapura tidak dikutuk kerana mempunyai ISA? Kenapa AS yang menggunakan Akta Patriot untuk menganiayai Muslim yang dilabelkan sebagai teroris, tidak dikutuk sebagai zalim?

Bukankah pemansuhan ISA satu muslihat supaya mereka yang membenci kerajaan boleh berkata apa sahaja secara bermaharajalela? Bukankah ini membolehkan mereka menghasut kumpulan yang tipis jiwa bangsanya supaya membenci kaum sendiri?

Cuba teliti, bukankah serangan demi serangan terhadap pelbagai bentuk jati diri Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk Islam dan Raja-Raja Melayu, semakin rancak setelah termansuhnya ISA?

Sekarang ini, kenapakah Akta Hasutan yang mirip ISA, dan Akta SOSMA yang menggantikan ISA, juga dilabelkan oleh segolongan pihak dalam sektor 22.4 peratus 6.8 peratus, sebagai undang-undang zalim?

Mungkinkah disebabkan undang-undang ini sahaja yang wujud untuk menghalang dan menyekat mereka dari bertindak dan bermaharajalela dalam usahanya melemahkan Peribumi di Malaysia?

Bukankah dua Akta ini juga yang menghalang mereka untuk bersuara sesuka hati dan menabur fitnah serta hasutan seluas-luasnya hingga menjejaskan ketenteraman awam dan mengancam keselamatan nasional Malaysia?

Kenapakah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Peribumi yang berkesan seperti Perkasa, Isma dan lain-lainnya, dituduh rasis? Bukankah disebabkan keberkesanan mereka dalam menghalang usaha pihak tertentu untuk mengadu-dombakan kita semua?

Kenapakah NGO bukan Peribumi disanjung dan dijunjung walaupun sikap rasisnya jelas terpancar dan menyula mata kita semua? Bukankah ini disebabkan aktiviti mereka sesuai dengan cita rasa mereka untuk melumpuhkan kuasa siasah Peribumi?

Kenapakah Biro Tata Negara (BTN) dan KEMAS sentiasa dimusuhi oleh mereka dan JASA pula dibubarkan sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) memerintah Malaysia selama 22 bulan? Bukankah disebabkan tiga organisasi ini yang menyuburkan nasionalisme dan patriotisme Peribumi Malaysia?

Kenapakah MARA, Lembaga Urusan Tabung Haji dan Felda dijadikan sasaran utama untuk direformasikan di zaman PH, walaupun niat utamanya terlalu menyimpang coraknya? Bukankah organisasi Peribumi ini yang berjuang untuk memartabatkan pendidikan dan ekonomi kita selama ini?

Kenapa wujud NGO mereka yang terus-menerus memerangi pelbagai dasar sosioekonomi Peribumi yang didakwa sebagai menindas bukan Peribumi? Tidakkah reformasi yang mereka tuntut sebenarnya berniat meranapkan masa depan Peribumi?

Kita perlu mencari jawapan kepada seluruh persoalan di atas dan insaflah bahawa Peribumi akan kehilangan kuasa menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika kita gagal mengatasinya.

Sidang Dewan Rakyat kali ini memberikan serba sedikit gambaran mengenai gaya, rentak, irama dan lenggok segolongan mereka yang sedang berusaha melumpuhkan kuasa Peribumi yang tergadai di zaman PH, dan ditebus semula setelah kemunculan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kelompok manusia ini memancarkan rasa betapa geram dan dendamnya mereka terhadap Kerajaan PN selaku kuasa berindukkan Peribumi-Muslim mutakhir ini.

Saksikanlah betapa mereka bersikap bongkak, sombong dan ada kalanya kurang bijaksana serta mungkin juga kekurangan ilmu. Saksikan betapa pencak silat mereka untuk menafikan keberkesanan kerajaan PN.

Mereka menyerang pihak berkuasa dalam pengurusan Covid-19 sebab mereka tidak mahu rakyat Malaysia mengiktiraf bahawa kerajaan PN telah berjaya menangani ancaman keselamatan ini secara jujur dan berkesan.

Ada sesetengah mereka menyerang Perdana Menteri secara melulu, kelihatannya untuk menudung kejijikan perilaku diri mereka yang mula terpalit dengan kemungkaran dan salah laku.

Ada yang menjuarai isu tertentu, kononnya sebagai pembela rakyat, walhal niat sebenarnya mungkin untuk mendorong rakyat membenci kerajaan yang berindukkan Peribumi, tetapi berjiwa besar untuk membela semua rakyat berbilang keturunan.

Mengambil kira pelbagai persoalan di atas, Peribumi mesti menggunakan kedudukan mereka selaku kelompok nasional terbesar di Malaysia, untuk merencanakan perpaduan yang lebih jitu dan untuk melaksanakan satu misi perjuangan baru yang lebih terancang, terselaras, tersusun, berkesan dan berstrategi, sampai ke peringkat akar umbi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here