PANDELELA Rinong Pamg (kiri) dan Leong Mun Yee di tempat corot terjun seirama platform 10m Olimpik Tokyo. - Foto MSN

MALAYSIA gagal mempertahankan pingat perak akuatik terjun seirama wanita platform 10 meter apabila pasangan Pandelela Rinong Pamg dan Leong Mun Yee sekadar menduduki tempat kelapan atau corot Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021), hari ini.

Pusat Akuatik Tokyo merakamkan sentuhan kecundang mereka setelah menghimpun 277.98 mata dalam persaingan pusingan akhir yang pingat emasnya milik pasangan China, Chen Yuxi dan Zhang Jiaqi, 363.78 mata.

Pingat perak dimenangi Amerika Syarikat dan gangsa untuk Mexico. Pandelela mengalungkan negara pingat perak acara ini pada Olimpik Rio 2016 dengan Cheong Jun Hoong yang kali ini hanya menyertai 10m platform individu.

AARON Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik mara ke suku akhir beregu lelaki badminton Olimpik Tokyo untuk berdepan satu lagi pasangan Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Marcus Fernaldi Gideon. – Foto MSN

Di gelanggang badminton Plaza Sukan Musashino, Aaron Chia Teng Fong dan Soh Wooi Yik melangkah ke suku akhir beregu lelaki setelah menewaskan Jason Ho-shue dan Nyl Yakura dari Kanada.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 ini menang 21-15, 21-13 dalam masa 32 minit sekali gus muncul naib juara Kumpulan D di belakang pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan yang belum kalah lagi.

Aaron-Woo Yik bakal berdepan satu lagi beregu Indonesia yang juga juara Kumpulan A, Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Marcus Fernaldi Gideon dalam suku akhir.

Perseorangan wanita negara, Soniia Cheah Su-Ya pula mencerahkan peluang ke pusingan kedua selepas mendapat kemenangan percuma daripada pemain Hungary, Laura Sarosi yang tercedera tumit.

“Saya mahu memenangi perlawanan ini berbanding menang percuma. Saya sedih dengan kecederaan serius tumit lawan. Saya turut terasa kesakitannya kerana pernah mengalaminya dulu.

“Saya ambilnya secara positif untuk berehat dan bersedia malah mengalu-alukan perlawanan berikutnya (menentang Ratchanok Intanon dari Thailand), esok,” kata Soniia, 28 pada laman Facebook rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Beregu wanita, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean mengakhiri saingan Kumpulan A dengan kemenangan sulung, menewaskan pasangan Great Britain, Chloe Birch dan Lauren Smith 21-19, 21-16.

Mei Kuan-Meng Yean walau bagaimanapun sudah tidak layak ke suku akhir kerana sudah dua kali kalah, kepada Greysia Polii-Apriyani Rahayu (Indonesia) dan Yuki Fukushima-Sayaka Hirota (Jepun).

SYAQIERA Mashayikh terkandas dalam pusingan pertama memanah recurve individu kepada Elena Osipova yang berasal dari Rusia tetapi mewakili ROC. – Foto MSN

Pemanah wanita negara, Syaqiera Mashayikh pula terkandas dalam pusingan pertama recurve individu setelah dikalahkan Elena Osipova yang mewakili Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC) 6-4 di Lapang Memanah Taman Yumenoshima.

Di Pelabuhan Pelayaran Enoshima, Khairulnizam Mohd. Afendy menamatkan perlumbaan keenamnya di tempat ke-26 keseluruhan acara laser standard pelayaran lelaki manakala Nur Shazrin Mohamad Latif di tempat ke-24 laser radial wanita. Masih ada tiga perlumbaan untuk layak ke pusingan persaingan pingat.

OG2020 - MALAYSIAN IN ACTION (280721)

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here